JAHIL
Jahil...
Sewaktu saya bekerja di Bandar Melaka, saya ada seorang kenalan perempuan yang agak alim orangnya. Setiap kali solat waktu, belum habis azan lagi dia sudah ke bilik air untuk wuduk. Saya namakan dia sebagai Mila. Mila ni merupakan pekerja baru di tempat saya kerja dan sangat menjaga aurat dia. Bertudung labuh dan berjubah besar.
Seminggu Mila bekerja di tempat saya, baru saya perasan yang Mila ni sejenis yang kurang berkawan. Agak memilih orang untuk berkawan. Mila dengan saya tidak ada masalah, tetapi dia dengan pekerja-pekerja wanita lain agak kurang ukhwah nya lebih-lebih lagi yang tidak menutup aurat.
"Aku makan kat office je. Aku takut terikut sama jahil.."
Tolaknya bila mendapati saya mempelawa salah seorang daripada pekerja makan bersama. Mila lebih rela makan sendirian jika bersama saya ada pekerja perempuan yang agak seksi pakaiannya atau tidak menutupi aurat walaupun mereka bukanlah beragama Islam. Saya biarkan Mila dengan keputusannya kerana bagi saya 'jahil' itu bukan kita yang tentukannya.
Sikap 'baik' Mila semakin menjadi-jadi. Mila akan 'direct sound' jika ada yang lambat solat. Walaupun ia adalah satu perkara yang baik tetapi menasihati jangan lah sampai menjatuhkan air muka orang lain.
"Woii korang ni nak masuk neraka ke? Solat... Solat... Dah time..."
Jerit kuat-kuat dalam sampai satu pejabat boleh dengar. Saya akui, pekerja perempuan yang beragama Islam ada yang tidak berhijab tetapi tidak bermakna mereka tidak solat. Bila nampak saya bangun, mereka juga akan turut serta bersama saya pergi solat.
"Apa nak jadi ni, rezeki mintak nak cepat tapi solat lambat!!"
Satu hari meja salah seorang pekerja perempuan di tepuk kuat. Terkejut saya yang berada di meja sebelah. Saya pujuk hati, mungkin sikap asal orang Melaka macam tu. Jadi saya abaikan.
"Kau ni nama jer Islam, datang kerja tak tutup aurat, baik kau terlanjang jer... Tak perlu solat tuhan tak terima"
Perli Mila kepada salah seorang pekerja perempuan yang sedang membersihkan 'makeup' di tandas untuk wuduk. Kebetulan saya juga ada di situ. Perlahan saya gosok bahu pekerja itu sambil membaca Innalillahiwainnalillahirajiun berkali-kali dan istighfar supaya reda kemarahan pekerja itu. Saya tak suka ada yang bermasam muka dalam pejabat saya.
Satu hari, kebetulan saya uzur. Mila datang kemeja saya
"Tu lah Cik .... Berkawan nau dengan orang jahil, tengok dah melekat pekat kejahilan tu. Zuhur dah nak habis, cik ..... masih laghaaa lagi hadap komputer... "
Walaupun tak kuat cara Mila bercakap tapi cukup didengari oleh beberapa pekerja di situ. Saya hanya senyum sambil tunjuk jari kelingking. Bagi kami di situ, jika ada masalah perempuan, kami lebih suka tunjuk jari kelingking sebagai kod... Malu nak cakap kuat-kuat.
Mila duduk di mejanya membelakangi saya. Entah kenapa pada hari itu hijab saya mula terbuka. Ada satu makhluk hitam besar sedang mengusap-usap ubun-ubun Mila. Air liurnya menitis di atas tudung Mila. Saya mendekati Mila untuk tahu keadaan sebenar kenapa makhluk itu duduk di sisi Mila sambil bermain-main dengan ubun-ubun Mila. Mungkin saya boleh tolong Mila jika dia benar-benar ada masalah dengan makhluk halus.
"Jahil... Semua Jahil... Semua ahli neraka dalam ni... Patutlah nabi kata ramai betina dalam neraka. Sini pun dah macam neraka. Panas betul aku dengan orang tak solat... Orang macam aku ni tak patut kerja sini... Esok aku nak hantar surat berenti! Jahil...jahil...'' Rungut Mila perlahan.
Saya tak jadi menghampiri Mila bila terasa ada satu tangan memegang pergelangan tangan saya dengan lembut seperti meminta saya berhenti melangkah. Saya kembali ke kerusi saya.
"Ujub... Jauhi sifat ujub dari dalam diri kita. Jika tidak mampu membawa manusia ke neraka dengan kejahilan maka dia (iblis) akan membawa manusia terjun ke neraka dengan kebaikan bila ada sifat ujub dalam diri...."
Bisikan bagai angin yang lalu itu mula menginsaf kan saya... Semoga kita semua dijauhkan daripada sifat-sifat yang boleh menjurus kepada dosa-dosa besar... Aamiin...
#MayangSari🕊️
Comments
Post a Comment