"Bukan kakak lah. Apa hodoh sangat rupanya itu.?" Soal arwah nenek apabila kakak mula membuka pintu pagar untuk masuk ke laman rumah.
ILMU HITAM DAN PENDAMPING (i).
Walaupun peristiwa ini berlaku hampir 28 tahun yang lalu namun ianya terpahat kukuh di ingatan saya. Peristiwa yang tidak akan pernah saya lupakan seumur hidup. Satu persatu perjalanannya tetap utuh diingatan saya sehingga ke hari ini.
Pada hari kejadian.
Ketika itu jam menunjukkan tepat pukul 1.30 tengahari. Matahari tanpa segan silu memancarkan cahayanya membuatkan cuaca hari itu panas terik.
Sedang saya memanja-manjakan diri bermain dengan 'brick game' di beranda rumah (rumah kampung) tiba-tiba hujan turun renyai-renyai membasahi bumi membuatkan bau hangit tanah naik menusuk ke hidung. Dari kejauhan saya ternampak kakak sedang berjalan memasuki lorong menuju ke pintu pagar rumah.
"Siapa pakai jubah hitam tu dik.?" Tegur arwah nenek sambil mengecilkan matanya.
"Mana ada jubah hitam. Kakaklah tu pakai baju sekolah." Jawab saya endah tak endah kerana bagi saya ianya bukanlah satu perkara yang penting.
"Bukan kakak lah. Apa hodoh sangat rupanya itu.?" Soal arwah nenek apabila kakak mula membuka pintu pagar untuk masuk ke laman rumah.
"Nek ni, kakak lah tu!" Tegas saya lagi.
Arwah nenek bingkas bangun dan mencapai penyapu lidi apabila kakak mula menghampiri.
"Kenapa datang sini. Pergi balik!!" Marah nenek pada kakak.
Arwah nenek melibas-libaskan penyapu tersebut seolah-olah ingin menghalau kakak. Saya terkejut dan menjerit memanggil mak yang sedang mencuci pinggan di dapur. Mak melulu turun ke beranda sambil mengambil penyapu lidi tersebut daripada tangan nenek.
"Istighfar Mak. Itu kan kakak."
Mak saya menarik arwah nenek masuk ke dalam. Kakak yang sedikit terkejut dengan tindakan arwah nenek itu duduk di sisi saya sambil menjeling tajam ke arah saya.
"Ramai kena histeria kat asrama. Warden suruh balik tunggu reda." Kata kakak sambil membuka stokin.
Tiba-tiba nenek keluar semula sambil membawa segenggam lada hitam bercampur garam kasar lalu membaling ke arah kakak sambil mentakbir Allahu Akbar berulang-ulang kali.. Saya terkejut kerana ada beberapa biji terkena saya dan ianya terasa sangat pedih seolah-olah terluka. Saya berlari membelakangi mak dan kakak tiba-tiba rebah lalu meracau seperti orang terkena sampuk.
"Aku dah kata. Bukan kakak ni!" Bebel arwah nenek berkali-kali.
"Yer lah, kalau yer pun tunggulah budak masuk dulu. Satu kerja nak mengangkat pulak." Rungut mak perlahan.
Saya memandang arwah nenek dan mak silih berganti kerana berasa hairan. Mak dan arwah nenek seperti sudah terbiasa dengan keadaan ini sedangkan bagi saya itulah kali pertama saya melihat keadaan seperti itu. Saya diarahkan oleh mak memanggil jiran terdekat yang saya namakan sebagai Cikgu Hashim (bukan nama sebenar). Cikgu Hashim bersama anak lelaki beliau membantu membawa kakak masuk ke dalam rumah. Walaupun tubuh kakak kecil tetapi dia kelihatan sangat berat walaupun diangkat menggunakan tenaga tiga orang lelaki dewasa.
Kakak terus meracau dalam bahasa yang tidak difahami. Seorang ustaz dipanggil untuk mengubati kakak. Bacaan Yasin dan ayat-ayat Al Quran memenuhi ruang tamu rumah saya. Arwah nenek duduk di hujung kaki kakak sambil menekan dua biji lada hitam di belakang ibu jari kakak membuatkan kakak menjerit dalam bahasa yang langsung tidak difahami.
"Dia bawa balik 'benda' ni." Bisik ustaz itu ke cuping telinga ayah.
Walaupun perlahan tapi cukup sampai ke telinga saya yang duduk di sebelah ayah. Mak pula menghilangkan diri entah ke mana.
"Benda apa pulak ni. Mana datang nyer.?" Soal ayah yang memang kurang percaya dengan tahayul mahyul ini.
"Tak pasti lah Pak Lan. Pak Lan kena cari orang yang pandai dalam bab-bab ilmu halus ni. Saya hanya boleh bacakan surah-surah untuk pendinding jer Pak Lan. Ini bukan lawan saya Pak Lan. Ilmu saya tidak lah sampai setara ini."
Ayah yang masih memakai uniform kerja itu merenung muka ustaz muda itu.
"Haish. Ni tekanan nak SPM ni ustaz. Mana ada benda-benda macam ni sekarang." Jawab ayah tidak bersetuju dengan cadangan ustaz itu tadi.
"Aku nak keluaaarrrr. Hantar aku keluaaar. Rumah kau ni panaaaassss.." Pekik kakak, suara yang keluar daripada mulut kakak garau dan kasar.
Tiba-tiba kakak bangkit daripada katil duduk melunjur memandang arwah nenek yang duduk di hujung kaki.
"Dah tu keluaaarrrr lah. Ikut anak cucu aku balik kenapa.!?" Soal arwah nenek lagi keras.
Tiba-tiba kakak memandang tepat ke arah saya. Matanya yang bulat itu seakan-akan terjojol keluar. Ayah menarik saya ke belakangnya supaya saya tidak memandang mata kakak.
"Aku panas. Bawa budak tu keluar." Jerit kakak menyinga sambil menuding jari telunjuk ke arah saya.
"Kau tu yang keluar, ini rumah dia. Kau tu datang tak berjemput." Jawab arwah nenek lagi. Kakak kembali merebahkan dirinya dan sambung meracau dalam ayat yang tidak difahami.
"Haus.. Haus." Suara kakak mendayu-dayu minta air.
"Ambilkan air dik." Arah nenek kepada saya. Saya bangun untuk mengambilkan kakak air.
"Aku tak nak air. Aku nak darah diaaaa.." Kata kakak sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah saya kemudian mengilai sekuat hati.
Ayah menarik saya supaya kembali duduk dan ayah sendiri yang bangun mengambil kan kakak air, apabila di suap ke mulut, kakak menolaknya keras sehingga gelas tersebut terpelanting ke dinding.
"Assalamualaikum."
Tiba-tiba muncul mak bersama seorang lelaki yang sangat saya kenali. Rupanya mak awal-awal lagi sudah pergi mencari Arwah Pak Mail. Arwah Pak Mail merupakan seorang yang pandai dengan benda-benda halus ni. Beliau pernah mengubati saya ketika saya demam panas sedikit masa dahulu. Demam yang hanya datang selepas Maghrib dan akan sembuh bila Subuh menjelma. Kata beliau demam itu berpunca kerana ada 'benda' yang ingin mendampingi saya tetapi tubuh saya tidak menerimanya. Benda baik warisan keluarga tetapi bukan dalam bentuk peliharaan. 'Dia' sendiri datang untuk menjaga. Arwah telah memberi saya pendinding dalam bentuk surah AL Quran yang dibalut dengan kain dan suruh saya memakainya sekiranya demam itu datang kembali. Tapi. Waktu itu saya masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Hanya mendengar dan mengikut sahaja.
"In Sha Allah bila dah besar, dah bersedia. Tak ada lah demam lagi." Kata arwah sewaktu kali terakhir saya berubat dengannya.
Berbalik dengan keadaan kakak saya tadi. Arwah Pak Mail duduk di kepala kakak dan minta kebenaran daripada ayah untuk menyentuh ubun-ubun kakak. Sebelum itu arwah ada membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan ditiup ke dalam air. Beliau meminta saya minum dan menyapu sedikit di muka saya. Kata arwah jika hijab saya terbuka, bimbang saya akan nampak benda yang tidak sepatutnya. Arwah memesan pada ayah sentiasa menyapu muka saya jangan bagi air di muka saya kering. Ayah yang hanya 50-50 percaya itu hanya menurut.
Sesi perubatan bermula. Arwah Pak Mail memegang ubun-ubun kakak perlahan tetapi kakak menjerit seolah-olah arwah Pak Mail menggenggam nya dengan kuat. Arwah Pak Mail menjampi dari hujung kepala hingga ke hujung kaki kakak. Tiba-tiba kakak bingkas bangun dan merenung saya lagi.
"Keluar!! Aku panas!" Kakak menyuruh saya keluar lagi.
Saya yang tidak tahu apa-apa turut merenung mata kakak. Mak cuba menghalang saya daripada terus melawan renungan kakak tetapi waktu itu saya rasa bagaikan ada satu semangat meminta saya terus merenung kakak. Saya merenung mata kakak dan tiba-tiba bunyi sesuatu berlari di atas atap rumah saya (atap zink) serentak dengan jeritan kakak. Saya terus merenung walaupun mak cuba mengalih perhatian saya. Kakak meronta-ronta ingin bangun. Walaupun telah dipegang oleh ayah dan dua orang bapa saudara saya, tenaga kakak sangat kuat. Kekuatan kakak menyebabkan ayah dan dua orang bapa saudara saya turut berganjak daripada tempat duduk mereka. Arwah nenek kekal berada di hujung kaki kakak tetap memegang kedua-dua belah kaki kakak.
Saya merenung kakak tanpa henti. Saya tahu jika kakak berjaya bangun, sasaran utama kakak adalah saya. Saya tetapkan kedudukan saya. Saya bersila rapat-rapat, tiba-tiba saya rasakan ada angin panas bertiup ke arah muka saya akhirnya kami sama-sama rebah.
Saya cuba membuka mata perlahan. Tapi rasa sangat mengantuk. Jelas kedengaran di telinga saya ayah dan Arwah Pak Mail berbual. Saya menoleh ke sisi kelihatan kakak lena terbaring di sebelah saya.
"Tidak ada kena mengena dengan asrama ni Pak Lan. Mungkin masa balik tadi, hujan panas turun, itu yang melekat. Benda tu memang ada dalam kawasan rumah Pak Lan ni. Orang hantar, tapi tidak tahu lah ditujukan pada siapa. Anak perempuan Pak Lan yang kecil tu jaga-jaga. Orang yang ada ilmu hitam nak sangat pada dia untuk uji ilmu sebab dia pun ada 'benda halus' yang nak 'mendamping'!" Jelas Arwah Pak Mail kepada ayah.
Ayah yang kurang percaya terpaksa mengangguk kan kepala mendengar kata-kata Arwah Pak Mail.
"Dah awak pandai. Tolong lah buang kan." Ayah bersuara setelah beberapa minit mendiamkan diri.
"Saya tidak pandai Pak Lan. Setakat sikit-sikit macam ni boleh. Tapi nak mencari dimana tertanam tu memang tidak pandai. Pak Lan kena ikhtiar cari orang yang pandai. Selagi ada tertanam di rumah Pak Lan selagi itu lah benda ni akan berulang.." Jelas Arwah Pak Mail lagi.
"Yang kecik saya tu apa pulak masalahnya.?" Ayah semakin pening.
"Macam ni Pak Lan, yang kakak tu terkena dengan ilmu hitam yang di hantar pada keluarga Pak Lan. Cuma tak tahu kepada siapa nak ditujunya. Daripada firasat saya, benda ni dah lama ada. Mungkin kakak lemah semangat, itu yang kena. Adik pulak, ada benda nak 'mendamping'. Pendamping ni tak semestinya 'membela'. Ada juga yang datang sendiri nak berkawan. Tapi kena jaga-jaga lah. Sebab pengamal ilmu hitam ni suka sangat nak uji ilmu dia pada orang macam adik ni." Jelas Arwah Pak Mail panjang lebar.
Kakak sering menjadi punca
Sejak hari itu, kakak sering meracau. Tak kira bila. Sedang berbual-bual dengan kawan-kawan pun kakak boleh pengsan dan meracau. Berapa kali ayah terpaksa menjemput kakak di asrama bila ada warden telefon mengatakan kakak sering menjadi punca histeria di kalangan penghuni asrama. Akhirnya kakak dikeluarkan daripada asrama dengan cara yang baik.
Setiap kali kakak histeria, Arwah Pak Mail lah yang menjadi orang harapan untuk pulihkan kakak. Ianya berlanjutan selama beberapa bulan. Ayah pula masih lagi ragu-ragu untuk sepenuhnya percaya pada alam mistik ini. Bagi ayah, kakak mungkin sedang menghadapi tekanan emosi kerana SPM semakin hampir ataupun tekanan perasaan akibat putus cinta. Berkali-kali ayah bertanya pada kakak, apa masalah kakak. Tapi kakak hanya mendiamkan diri dan berlagak seperti tidak tahu apa-apa.
Tentang saya.
Saya.? Bercerita tentang saya pula. Menurut mak, sejak kecil lagi saya memang sentiasa sakit. Kadang-kala saya kena sawan, kaki saya sebelah kanan akan membengkak bagaikan belon yang diisi air dan kadang-kala saya akan demam panas tidak surut sehingga terpaksa ke perubatan kampung jika perubatan hospital tidak berhasil. Menurut mak, mungkin saya terpaksa hadap semua itu kerana keterlanjuran mak sewaktu mengandungkan saya.
Arwah nenek pernah bercerita pada saya. Sewaktu saya berusia 9 bulan dalam kandungan, mak pernah melihat 7 orang perempuan cantik sedang mandi manda di sungai belakang rumah saya. Ketika itu sudah memasuki waktu Maghrib dan di bulan Ramadhan. Mak melihat 7 orang wanita cantik itu kakinya ada tetapi tidak memijak tanah, mereka berjalan terawang-awangan. Mak ke sungai untuk membuang sisa perut ikan yang telah siap disiang. Memang sungai yang mengalir di belakang rumah saya itu sangat kotor. Ia menjadi tempat pembuangan sisa sampah tetapi petang itu sungai itu menjadi sangat cantik dan harum.
"Celaaakaaa kau setan main kawasan aku. Cis." Tempik mak sekuat hati sambil melempar sisa tersebut.
Mendengar mak menjerit mereka menghilangkan diri selepas beberapa saat melihat ke arah mak. Melihat sungai bertukar menjadi seperti asal mak juga turut berlari memasuki pagar rumah.
Mak menceritakan kejadian itu kepada arwah nenek. Arwah nenek memarahi mak kerana menegur makhluk itu. Sepatutnya apabila nampak sesuatu yang bukan daripada alam kita atau mendengar sesuatu yang pelik-pelik kita hanya perlu mendiamkan diri dan buat seolah-olah kita tidak nampak atau mendengar mereka.
Maka tidak hairanlah ketika saya kecil, seingat saya dalam lingkungan usia 5 tahun saya sentiasa bermain dengan 'Indera dan Seri'. Saya ada menceritakan kewujudan dua makhluk itu kepada kawan-kawan tetapi mereka hanya ketawakan saya dan mengatakan saya menipu. Mereka menganggap saya sengaja mereka-reka cerita untuk menakut-nakutkan mereka. Akhirnya saya pendamkan sahaja di dalam hati. Bimbang saya akan kehilangan kawan-kawan jika terus menerus bercerita tentang 'Indera dan Seri'.
Saya sangat gemar bermain di sungai belakang rumah. Tetapi arwah nenek sangat melarang saya bermain di sungai tersebut apatah lagi jika waktu senja.
"Kau nak kena ambil kat bunian ke..?" Soal nenek kepada saya.
Soalan nenek yang telah sebati dengan jiwa saya. Bagi saya, bunian yang dimaksudkan nenek itu adalah orang jahat yang kerjanya mengambil kepala budak untuk dibuat jambatan. Saya rasa kanak-kanak yang hidup pada zaman 89/90an pasti tahu kisah ini dan sering di momok kan dengan cerita penyabit kepala budak.
'Indera dan Seri' juga berjalan tidak memijak tanah sama dengan makhluk yang pernah mak nampak satu masa dulu, itu menambahkan lagi kelucuan pada cerita saya dan kawan-kawan akan ketawakan saya kecuali Arwah Pak Mail. Tiap kali saya bercerita tentang Indera dan Seri, Arwah Pak Mail akan mendengar dengan bersungguh-sungguh dan meminta saya selalu membaca Al Fatihah sebagai pendinding diri. Arwah Pak Mail sering berpesan kepada saya sekiranya Indera dan Seri mengajak saya kemana-mana jangan sesekali ikut.
"Kalau adik nak tinggal dengan mak dengan ayah dengan nenek lagi. Jangan ikut 'kawan' adik tu. Nanti adik dah tak boleh jumpa mak, ayah, nenek, kakak, abang. Nak.?" Soalnya dalam loghat Kelantan. Saya menggelengkan kepala.
Arwah Pak Mail juga tidak pernah melarang anak-anaknya bermain dengan saya. Benda ini berterusan sehingga saya naik tahun 1. Saya menjadi seorang yang sangat keras kepala. Apa yang saya mahu mesti saya akan mendapatkannya. Jika tidak saya akan memberontak. Alhamdulillah keluarga saya sangat pandai menangani perangai buruk saya. Saya tidak mempunyai ramai kawan hanya anak-anak Arwah Pak Mail yang setia berkawan dengan saya. Mungkin sebab saya pelik yang suka bercakap sendirian, saya dipulaukan oleh kawan-kawan yang lain. Cuba pembaca fikir dan memberi pendapat, bagaimana saya tidak bercakap sendirian sekiranya ada yang ajak saya berbual..?
Sesi perubatan kakak.
Berbalik kepada masalah kakak saya pula. Benda ini berlarutan sehingga kakak tamat SPM. Setelah penat dipujuk arwah nenek, mak, saudara mara akhirnya ayah bersetuju untuk membawa kakak pergi berubat.
Hala tuju yang pertama kami adalah rumah saudara jauh ayah. Hubungan terjalin kerana anak perempuannya telah berkahwin dengan anak buah ayah. Orangnya sangat alim dan kuat ilmu agamanya. Saya namakan beliau sebagai Pakcik Daud.
Apabila ayah berjaya mendapatkan barang yang Pakcik Daud minta iaitu 7 jenis bunga sebanyak 7 kuntum bersama punca air (air daripada mata air). Sesi perubatan terus bermula. Awalnya kakak tenang. Tetapi selepas di baca beberapa ayat Al Quran kakak tiba-tiba rebah. Saya juga menggigil kerana tiba-tiba rasa sangat sejuk. Melihat saya begitu, Pakcik Daud meminta mak membawa saya keluar.
"Aku takkan berurusan dengan jin walau apa pun agamanya. Bawa adik keluar. Adik, jika nampak apa-apa jangan tegur. Tengok jer, kalau takut pejam mata." Pesan Pakcik Daud.
Mak segera membalut tubuh saya dengan kain batik. Mak tinggalkan saya di ruang tamu bersama beberapa orang lain yang sedang menunggu giliran untuk berubat termasuk anak Pakcik Daud yang saya namakan Kakak Izah. Mak kembali semula ke bilik perubatan. Saya hairan kenapa saya di panggil jin. Mungkin saya ni jahat sangat sebab selalu melawan cakap mak, ayah dan nenek kerana itu dipanggil jin. Pendapat saya yang ketika itu masih anak kecil.
Tiba-tiba saya nampak bayang-bayang berwarna hitam cuba merangkak masuk melalui bawah pintu. Saya mencuit Kakak Izah yang sedang menonton televisyen. Saya menuding jari ke arah makhluk itu tetapi Kakak Izah menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak dapat melihat apa yang saya nampak.
Makhluk itu berlegar-legar di ruang tamu memanjat dinding dan merangkak di lantai untuk cuba masuk ke bilik tempat kakak berada namun gagal. Saya mendengar suara kakak menangis merayu dalam bahasa yang tidak difahami. Saya duduk kaku tidak berani bersuara kerana teringatkan kata-kata Pakcik Daud. Saya menoleh pula di muka pintu, ada beberapa orang lelaki memandang saya. Memandang tepat ke wajah saya. Salah seorangnya memberi senyuman pada saya. Saya mencuit lagi Kakak Izah yang leka menonton televisyen lalu tunjuk ke arah beberapa orang lelaki yang berdiri di luar itu.
"Dik, tak sesiapa kat situ. Shhh jangan cakap nanti ayah (Pakcik Daud) marah." Kata Kakak Izzah seolah berbisik.
Kakak Izah bangun dan menutup pintu rumah. Melihat saya seakan-akan takut, Kakak Izzah menarik saya duduk di sebelahnya. Akhirnya saya tertidur. Mendengar suara ayah memanggil nama saya, saya terjaga.
"Lan kau buang benda di Kuala Sungai. Jangan dibuka ikatannya. Kalau ada yang tegur kau jangan jawab sepatah pun. Balik terus." Pesan Pakcik Daud tegas sambil menghulurkan bungkusan plastik jernih kepada ayah.
Ayah mengangguk tanda faham. Saya mendengar mak berbual dengan ayah. Mereka kata yang dalam bungkusan itu adalah minyak pemisah. Sihir yang di hantar untuk mencerai beraikan mak dan ayah saya. Menurut Pakcik Daud lagi orang itu dengki kan ayah kerana berjaya mengahwini mak. Padanlah mak dan ayah seringkali bergaduh walaupun hanya kerana perkara-perkara kecil. Nampak dengan jelas di mata saya minyak hitam yang terapung di dalam plastik jernih yang di punjut itu. Tetapi apabila saya bercerita pada ayah. Ayah menafikan sebaliknya pada ayah dan mak hanyalah air biasa dengan rendaman beberapa tangkai bunga.
Alhamdulillah kakak tidak lagi di serang histeria. Kakak menjalani kehidupan sebagai seorang yang normal. Tidak lagi tiba-tiba pengsan dan meracau.
Kakak buat hal di rumah pakcik.
Sementara menunggu keputusan SPM, kakak mengikut abang saya yang sulung bekerja di Jerantut. Tinggal bersama arwah makcik saya. Hampir tiga bulan kakak bekerja di Jerantut, sekali lagi kakak di serang histeria. Kami sekeluarga bergegas ke Jerantut untuk membawa kakak pulang.
Setibanya di rumah arwah makcik, kakak meracau seperti orang yang berada dalam kesedihan. Menangis merayu minta dilepaskan.
"Lepas kan akuuuu.. Lepaskan akuuuu.. Lepaskan akuuuu.." Mendayu-dayu dan ianya bukan suara kakak lagi.
Saya hairan kenapa kakak minta di lepaskan sedangkan kakak tiada siapa yang pegang. Hanya terbaring lesu tidak berdaya.
"Tooolongggg.. Tooolongggg. Tooolongggg aku.. Lepaskan aku.. Sakit.." Rayu kakak lagi.
Kakak memandang saya seolah-olah meminta bantuan daripada saya. Saya nampak di pergelangan kedua-dua kaki dan tangan kakak ada tali kain kuning yang berikat. Saya maklumkan kepada mak.
"Shhhh. Mana ada tali. Mak tak nampak." Jawab mak juga dalam keadaan berbisik.
"Kalau kau tak lepas kan aku, nanti bas kau mesti terjun curam." Kata kakak agak kasar dan sedikit mendengus.
Arwah pakcik (suami makcik) saya hanya ketawa kerana tidak percaya. Saya lupa nak terangkan dari awal, arwah pakcik merupakan seorang pengusaha bas. Kakak bekerja sebagai kerani di syarikat arwah pakcik.
Tiba-tiba suasana menjadi semakin kelam kabut bila ada pekerja arwah pakcik datang tergesa-gesa mengatakan bas arwah pakcik hampir terjunam ke bawah cerun ketika dalam perjalanan pulang nasib baik pemandunya tidak apa-apa hanya cedera ringan dan ketika itu tiada penumpang lain berada di dalam bas. Kakak mengilai sekuat hati.
Saya terdiam kaku apabila kelibat lelaki yang saya nampak tempohari di rumah Pakcik Daud turut berada di situ tetapi hanya berdiri di luar rumah. Seperti biasa mereka tersenyum memandang saya. Saya mengensot ke belakang ayah kerana mula berasa tidak senang hati. Perasaan takut mula menyelubungi saya. Arwah pakcik sudah hilang bersama beberapa orang pekerjanya. Mak dan ayah memutuskan untuk bawa kakak pulang malam itu juga memandangkan ayah tidak dapat cuti lebih (kerja kerajaan).
Sedang kami bersiap-siap untuk pulang, arwah pakcik muncul bersama seorang lelaki yang seakan-akan Orang Jawa.
"Kau nak main dengan aku yer, kau rasa lah nanti." Kata arwah pakcik dalam keadaan marah.
Kakak ketawa mengilai. Saya melihat ke arah beberapa orang lelaki yang berada di luar tadi mereka masih tegak di situ. Saya mencuit arwah nenek dan mengatakan ada orang diluar. Nenek memandang ke luar lalu membisikkan pada saya.
"Jangan minta tolong daripada makhluk lain selain Allah dik."
Saya yang tidak faham dengan maksud arwah nenek hanya mengangguk kecil menoleh ke arah mereka yang masih berdiri tegak disitu memperhatikan saya.
Orang Jawa itu membaca beberapa mentera yang tidak saya fahami. Sesekali Orang Jawa itu akan menoleh ke arah saya dan ke luar pintu rumah. Mungkin Orang Jawa itu nampak apa yang saya nampak. Setelah beberapa minit, kakak sedar daripada histeria dan mula menangis kerana berasa sakit di setiap sendi. Menurut Orang Jawa itu kakak terkena dengan sihir yang ingin menjahanamkan perniagaan arwah pakcik.
Selesai sahaja kakak mandi, kami terus berjalan pulang. Perjalanan terasa sangat jauh. Ayah kata kereta tidak dapat jalan laju seolah-olah ada beban yang dibawa. Apabila mendaki kawasan berbukit seperti Felda Jengka, enjin kereta tersemput-semput seolah menunggu masa untuk mati. Ayah membuka ayat-ayat Al Quran (kaset/tape) di radio kereta. Alhamdulillah kami selamat sampai walaupun beberapa kali kakak meminta ayah menutup radio, panas katanya.
Ikhtiar untuk sembuh.
Sekembalinya daripada Jerantut, sekali lagi ayah bertemu dengan Pakcik Daud. Malangnya Pakcik Daud kurang sihat dan minta ayah menemui seorang kenalannya di Keratong. Tiba masa yang ditetapkan dan melalui alamat yang diberi oleh Pakcik Daud kami sekeluarga bergerak menuju ke Felda Keratong.
Tiba di tempat yang berkenaan, ayah menjadi teragak-agak kerana orang yang akan mengubati kakak kali ini adalah daripada bangsa Orang Asli. Memandangkan kami telah sampai maka ayah teruskan juga dengan niat ikhtiar untuk sembuh dan segalanya berserah pada Allah SWT punya kuasa.
Tiada sesi perubatan di jalankan kerana kata orang tua separuh abad itu, untuk singkirkan ilmu hitam tersebut mereka harus datang ke rumah kami untuk melihat 'keadaan' rumah. Kata orang tua itu, ilmu hitam tersebut bukan lah ditujukan kepada kakak tetapi orang lama yang menghuni di rumah tersebut. Mungkin arwah nenek ataupun arwah atuk.
Tiba masa yang dijanjikan, sesi perubatan bermula. Orang tua tersebut datang bersama 2 orang pembantu. Orang tua itu membaca mentera yang tidak difahami dan membakar kemayan. Bau asap kemayan memenuhi ruang tamu. Selepas beberapa minit bersila di ruang tamu orang tua itu bersama 2 pengikutnya membawa ayah turun untuk mengelilingi rumah bersama bekas kemayan tersebut. Suasana sangat sunyi kerana kami tidak dibenarkan bercakap. Saya duduk di sisi nenek. Kakak masih kelihatan segar. Selepas hampir setengah jam mereka berada di luar, mereka kembali ke ruang tamu.
"Ada 3 barang tertanam. Dua di tempat senang nak ambil manakala satu lagi kena pecahkan simen. Satu tempatnya di bawah rumah betul-betul di tiang seri dan satu lagi di akar pohon mempelam." Jelas orang tua itu.
Arwah nenek mengangguk perlahan. Menurut arwah nenek, sebelum pohon mempelam itu tumbuh, disitu adalah tangga hadapan rumah (ketika arwah atok masih ada). Manakala tempat bersimen yang di maksudkan itu adalah dapur yang bertiang (bawah rumah) sebelum dirobohkan menjadi bilik air.
Setelah meminta izin daripada ayah, mereka pun mulakan sesi pencarian. Ayah, abang dan dua orang pengikutnya tidak dibenarkan memakai pakaian. Hanya berseluar pendek. Manakala kami kaum wanita tidak dibenarkan keluar. Lama mereka berada di luar. Jelas kedengaran mereka memecah batu bilik air. Setiap kali barang di ambil, ayah menjadi saksi supaya ayah tidak menuduh mereka sengaja meletakkan barang tersebut. Tiada apa yang luar biasa berlaku. Setelah berjaya menjumpai ketiga-tiga barang tersebut, kami dibenarkan keluar. Saya berdiri hampir dengan tempat letak barang-barang tersebut. Satu diletakkan di dalam tin Milo lama yang sudah reput tertanam di bawah akar pokok mempelam, satu lagi bungkusan berbentuk mayat yang dibaluti dengan kain kuning dan satu lagi bunjut berwarna putih yang diambil daripada bawah lantai bilik air.
Sementara menunggu orang tua itu mengubati kakak yang sudah mula meracau, benda-benda tersebut dimasukkan ke dalam botol dan di tanam semula ke dalam tanah serta tindih dengan batu besar. Jelas kelihatan di mata saya, abang dan beberapa orang yang berada di situ batu besar tersebut bergoncang perlahan seperti ada yang ingin keluar.
Hati saya teragak untuk memandang ke pokok mempelam yang paling atas. Ada sesuatu benda hitam bertenggek di pucuknya. Walaupun keadaan itu gelap tetapi dengan cahaya bulan yang mengambang ianya sangat jelas di mata saya. Rupanya seolah-olah bertanduk dengan rambut yang panjang. Fizikalnya bukan lelaki ataupun perempuan. Ia ibarat bayang-bayang kerana ranting mempelam boleh menembusi fizikalnya sekiranya angin bertiup. Pernah tak pembaca melihat bayang-bayang sendiri Begitulah fizikal makhluk tersebut. Sehingga kini saya dapat mengingati dengan jelas bentuk makhluk itu dan ia membuatkan saya sangat fobia dengan kegelapan. Pada mulanya saya ingin menunjukkan makhluk itu kepada abang tetapi bimbang di ketawakan saya simpan sahaja niat saya.
Selesai sesi perubatan kakak, saya mendengar orang tua itu berbual dengan ayah. Menurut beliau, benda itu di hantar oleh orang asli pada satu masa yang lama dahulu. Mungkin sewaktu arwah atuk hidup lagi. Sebab itu setiap kali kakak meracau, bahasa yang di keluarkan oleh kakak tidak dapat difahami.
Benda-benda tersebut mereka membawa pulang. Kata mereka benda (jin) tersebut akan dikembalikan pada tempat asalnya di hutan. Ketika mereka meninggalkan rumah saya, makhluk yang bertenggek itu juga turut lesap.
Selepas peristiwa itu, kakak tidak lagi histeria sehingga kini. Kakak dapat tawaran ke universiti. Malangnya ayah tidak izin kakak pergi memandangkan keadaan kakak yang lemah dan mudah di sampuk makhluk halus. Kakak menangis sepanjang malam kerana cita-citanya tidak kesampaian. Akhirnya kakak memutuskan untuk sambung ke tingkatan 6. Ayah dan mak tidak membantah asalkan kakak berada di depan mata mereka. Tamat tingkatan 6 atas, kakak dapat tawaran ke Maktab Perguruan Batu Rakit Terengganu. Memandangkan arwah abang mak yang ke tiga tinggal di sana, ayah izinkan kakak pergi.
Alhamdulillah semuanya selesai dengan selamat. Sesungguhnya kita hanya berikhtiar untuk sembuh dan ikhtiar itu banyak cabangnya tetapi kesembuhan itu adalah daripada Allah SWT punya kuasa. Tiada ilmu yang lebih hebat selain daripada ilmu maha pencipta. Allahu Akbar.
Facebook : Mayang Sari (Adik)
Comments
Post a Comment