MEE GORENG BASAH RINA
Kisah ini terjadi hampir belasan tahun yang lalu sebelum saya mendirikan rumahtangga. Waktu tu saya menyewa di sebuah rumah yang terletak di tengah bandar.
Suasana yang agak sibuk daripada pagi membawa ke petang hinggalah ke larut malam memang tidak menjadi alasan untuk saya merasa takut sekiranya keseorangan di rumah pada malam hari jika kawan-kawan bekerja shift malam atau keluar melepak sehingga lewat malam.
Untuk dijadikan cerita. Malam tu saya tinggal bersendirian di rumah manakala rakan-rakan yang lain ada urusan mereka sendiri. Ada yang keluar makan malam bersama pasangan masing-masing dan ada yang keluar untuk bekerja.
Bagi diri saya yang tidak suka keluar malam, memang di rumahlah tempat saya melepaskan lelah setelah seharian bekerja.
Ketika itu hujan turun mencurah dengan lebatnya tanpa belas kasihan. Memandangkan suasana di luar rumah yang agak bising dengan hiruk-pikuk kenderaan yang lalu lalang menjadikan keadaan tidak lah terlalu suram.
Sedang saya melayan mata yang belum mengantuk dengan mendengar lagu di corong radio sambil melayan hobi menulis cerpen, tiba-tiba ada suara perempuan memanggil nama saya dan mengetuk pintu bilik saya dengan kuat.
Saya keluar tanpa ada perasaan curiga kerana salah seorang kawan saya memang ada memegang kunci kedua rumah.
"Awal kau balik Rina...?"
Tegur saya apabila melihat dia yang saya gelarkan Rina terus masuk ke bilik tanpa menegur saya.
"Letrik tak ada, supervisor suruh balik," jawab Rina spontan lalu menutup pintu biliknya yang bertentangan dengan bilik saya.
"Lah.. Kau ketuk pintu aku panggil aku keluar kemudian kau masuk kurung diri dalam bilik, baik tak payah panggil. Kot nak belanja makan ke, teman makan maggi ke tak apa juga... Ni balik tangan kosong terus lepak bilik..." Bebel saya lalu kembali ke bilik.
Tiba-tiba pintu depan pula diketuk dengan kuat, sekali lagi nama saya dipanggil. Saya yang baru sahaja ingin melabuhkan diri kembali di tilam terus bangun dengan perasaan agak geram.
"Tu lah aku suruh buat kunci banyak sikit tak nak. Demand sangat. Fikir aku ni babu tukang buka pintu ke?" Omel saya sendirian.
Pintu dibuka... Saya tergamam merenung Rina yang sedang kuyup kebasahan.
"Hari ni cuti, elektrik terputus..."
Jawab Rina lembut sambil meletakkan bungkusan di meja. Kaki dan badan saya mula menggeletar kerana memikirkan siapa yang masuk ke bilik sebentar tadi.
"Haih... Tu mee goreng basah kegemaran kau. Upah buka pintu. Kunci rumah aku tertinggal dalam locker kilang. Maaf mengganggu kau..."
Saya yang telah kaku berdiri di sergah oleh Rina. Mungkin dia hairan kerana saya masih berdiri di muka pintu.
"Tadi..."
Saya segera mematikan kata-kata saya bila melihat Rina membuka pintu biliknya.
"Apa yang tadi-tadi nyer? Jangan cakap banyak. Makan cepat. Nanti dah kembang mee tu tak sedap."
Rina yang sudah saya anggap seperti kakak itu terus hilang ke dalam bilik. Saya beristighfar panjang mengenangkan makhluk yang menyerupai 'Rina' itu tadi.
Awalnya memang perut saya sangat lapar, tapi oleh kerana 'tetamu' yang datang tadi saya menjadi kenyang dan bungkusan mee goreng basah tersebut saya simpan dalam peti.
Tiba-tiba telefon saya berdering. Saya segera menjawab kerana ada nombor yang tidak saya kenali sedang menari-nari di skrin telefon saya.
"Adik, Rina eksiden. Meninggal di tempat kejadian. Aku dah suruh Rose pergi ambil kau. Kunci bilik Rina pun ada pada Rose. Kau siap cepat datang hospital bawa barang-barang Rina. Nanti keluarga dia sampai nak bawa balik jenazah boleh serahkan sekali."
Sayu suara Ara di hujung talian sana. Saya terduduk kaku diam tidak bersuara. Saya menatap sayu pintu bilik Rina yang tertutup rapat.
"Rina, kau kah yang pulang?" Bisik hati saya. Akhirnya saya sendiri rebah tidak bermaya.
Saya cuba mencari kekuatan saya untuk masuk ke bilik Rina. Rose memandang saya dengan sayu. Ada telekung yang tersangkut kemas pada kepala katil dan sejadah yang masih terbentang. Cadarnya pula rapi dan kemas. Maka benarlah bukan Rina yang pulang.
"Rina... Kalau kau masih di sini, izinkan aku buka almari dan sentuh barang kau yer..." Bisik saya perlahan.
Andai saya tahu Rina dah tiada pada kali pertama saya melihat dia pulang tadi, sudah tentu saya akan memeluknya dengan erat kerana saya pasti tidak akan bertemu dengannya lagi.
Saya juga tidak sanggup menceritakan peristiwa Rina 'pulang' malam itu kepada mereka bertiga kerana bimbang jika mereka akan fikir yang bukan-bukan tentang Rina sedangkan Rina sangat baik. Saya sangat rapat dengan Rina. Sakit pening saya sentiasa diambil tahu.
"Acik. Ini barang-barang Rina yang boleh kami bawa. Tinggal katil, tilam, rak kasut dan almari kayu jer. Nanti acik datang lah ambil dengan lori," bisik saya kepada ibu Rina.
"Tak apa dik. Kami nak terus balik ke Kedah, kebumi Rina kat sana. Terima kasih sebab berkawan dengan anak acik. Barang-barang Rina tu, kamu ambil lah bahagi pada siapa yang nak. Acik tak nak. Acik nak bawa balik Rina jer."
Ujar ibunya sambil menyapu air mata yang masih lagi menitis.
Malam itu, bukan sahaja Rina yang meninggalkan rumah, termasuk saya sekali melangkah pergi. Jangan tanya sambungan lagi sebab dah tak ada. Malam itu juga saya pulang ke kampung selepas selesai urusan jenazah Rina dibawa pulang oleh ahli keluarganya.
Saya meninggalkan rumah sewa tersebut bukanlah kerana saya takut sebab dah biasa nampak benda-benda seperti ini. Cuma saya tidak boleh terima yang Rina dah tiada. Terbayang-bayang dua kali 'Rina' pulang pada malam itu.
Malam itu juga Ara kata, sewaktu dia tiba di tempat kejadian setelah mendapat panggilan daripada orang awam, di sisi arwah ada mee goreng basah yang masih elok berbungkus.
Mungkin Rina belikan untuk saya di rumah kerana Rina tahu saya sangat gemar dengan makanan tersebut itu menambahkan lagi perasaan sedih di hati saya.
Facebook : Mayang Sari (Adik)
Comments
Post a Comment