HULWATI DAN MUHIBBI
Bermula kisah antara saya dan Arjuna...
Episod 1
Pada tahun 1997, ketika saya di tingkatan 3, saya telah mengikuti satu sesi perkhemahan kokurikulum anjuran pihak sekolah zon timur, Kem Janda Baik di salah sebuah sekolah menengah yang terletak di Bentong Pahang.
Ada tak sesiapa di sini turut menyertai kem tersebut? Pengalaman 3 hari 2 malam yang sangat menyeronokkan. Pelbagai aktiviti dapat dilakukan sepanjang sesi perkhemahan tersebut.
Pulang daripada kem tersebut saya dapat khabar arwah nenek sakit (semput) dan meminta saya balik ke kampung kerana ketika itu saya tinggal bersama arwah makcik.
Keluarga saya terus membuat pemindahan sekolah serta merta kerana desakan nenek supaya saya berada di sampingnya selalu.
**********
Pagi itu azan subuh berkumandang. Seperti biasa saya akan bangun pagi untuk wuduk di luar rumah kerana ketika itu rumah saya sedang di 'renovate'.
Sedang saya berteleku menunggu rasa sejuk hilang, tiba-tiba ada renjisan air jatuh ke dahi saya. Mula-mula sedikit dan lama-kelamaan menjadi banyak sehingga lencun ubun-ubun saya.
Saya mencari arah percikan air itu dan di satu sudut yang diterangi lampu jalan, kelihatan seorang lelaki sedang bermain dengan semangkuk air di tangan.
"Embun... Mandi embun untuk seri muka..." Katanya sambil tersenyum.
"Mak...." Jerit saya kuat.
Mak berlari turun mendatangi saya. Bila saya tunjuk ke arah lelaki itu, langsung dia hilang daripada mata. Maka ketahuilah saya bahawa dia bukan manusia biasa.
Sejak daripada itulah lelaki itu sering wujud di depan mata saya. Pelbagai benda dan karenah dia buat untuk menarik perhatian saya, tapi saya abaikan. Itulah Arjuna datangnya dari Janda Baik mengikut saya pulang.
"Aku akan sentiasa bersama kau tanpa syarat..."
Bisik Arjuna pada malam saya diserang jin yang dipuja dalam minyak dagu.
"Siapa kau?" Soal saya kembali.
"Muhibbi" Jawabnya pendek langsung hilang di bawa angin malam.
***
Arjuna Sentiasa Ada
Saya sentiasa melihat dia. Kadang kala dia senyum dan kadang kala dia hanya diam membisu. Berkali-kali saya mengusirnya pergi namun dia tetap tegap di situ ibarat panglima menjaga sang puteri.
Arjuna sering membuatkan saya berasa rimas dengan gurau sendanya. Kadang kala Arjuna membaling sesuatu dan kadang kala menyembunyikan sesuatu semata-mata untuk menarik perhatian saya. Sayangnya, Arjuna hanya menyalakan api kemarahan saya.
Saya tidak memuja, tidak juga ingin bersahabat dengannya. Berkali-kali saya menyatakan saya tidak memerlukan dia namun Arjuna tetap ingin berdamping dengan saya. Akhirnya saya akur dengan pendiriannya.
"Diamlah di situ selama mana mahumu… Pergi setelah kamu jemu. Pergi jauh-jauh dan jangan kembali bertamu…" Bisik saya kepadanya, lembut tetapi tegas.
Arjuna seperti biasa, membatukan diri sambil merenung saya. Marah atau sebaliknya saya tidak peduli asalkan tidak mengganggu hidup saya.
***
Satu hari ketika mentari sedang memancarkan cahayanya. Apabila kaki saya mula memijak tanah selepas keluar daripada perut bas, hujan mula turun membasahi bumi.
"Hujan panas.." Bisik hati saya yang selalu diingatkan oleh nenek supaya cari tempat berteduh.
Hujan panas boleh membuatkan kita sakit teruk. Saya berhenti di perhentian bas sambil menghitung waktu menanti hujan reda.
"Kemana..?" Soal seorang lelaki yang turut berteduh.
"Nak balik rumah lah, kemana lagi pada waktu-waktu begini..." Jawab saya.
"Nak abang hantar kan..?" Soalnya lagi.
Saya menggelengkan kepala, perasaan takut mula mengambil alih ketenangan jiwa. Lelaki itu mula mendekati saya. Perlahan-lahan akhirnya dia betul-betul berada di sebelah saya.
Saya yang ketika itu masih berbaju sekolah mula berasa seperti ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Saya bangkit daripada bangku besi bersedia meredah hujan jika ada sebarang kebiadaban berlaku.
"Sombongnya... Duduk lah dik… Kita manja-manja sikit… Bukan tak kenal abang kan.." Pujuk lelaki itu sambil menarik pergelangan tangan saya...
Memang saya cukup mengenali dia kerana itu lah saya takut disaat dia mula menghampiri saya. Banyak cerita yang saya dengar tentang dia, dengan satu calit si gadis akan mengikutinya ibarat Laila mendambakan cinta si Majnun.
Saya merenung wajahnya lama-lama. Tiba-tiba muncul makhluk perempuan bertenggek di tengkuknya merenung saya. Saya segera mengalih pandangan saya ke arah lain supaya makhluk itu tidak menyedari saya mampu melihatnya.
Saya memejamkan mata berdoa supaya ada seseorang yang akan lalu di jalan ini. Kaki saya menjadi berat untuk melangkah dan saya lihat mulut lelaki itu sedang terkumat-kamit membaca sesuatu.
Makhluk perempuan itu sudah tidak lagi berada di tengkuknya tetapi sedang memegang kaki saya. Sakit dan sangat pedih. Rambutnya terjuntai di lantai tanpa separuh badan di bahagian kaki.
Dia mendongak melihat saya. Saya nampak dagunya yang hitam dan melecur teruk seolah-olah dibakar dengar api. Saya ingin menjerit tapi mulut saya seperti disumbat batu.
Alhamdulillah Allah mendengar doa saya. Arjuna yang sering tersenyum kepada saya itu muncul. Dengan gagahnya dia merentap rambut makhluk perempuan itu lalu mencampakkannya kepada lelaki itu tadi.
Lelaki itu sedikit berganjak daripada tempat duduk lalu menggosok dada dan terus berlalu pergi meredah hujan bersama motornya tetapi sempat menjeling kearah saya seperti tidak puas hati.
Saya terduduk dan mulut mula bertahmid dan berzikir supaya semangat saya kembali kepada saya. Apabila saya bangun saya lihat mak berjalan menghampiri saya dengan membawa payung.
Mak datang untuk menjemput saya kerana hujan mula menggila. Saya memilih untuk diam kerana saya tahu mak tidak akan percaya.
Malam itu ketika mata saya mulai layu dan roh mula bersedia untuk berehat, saya rasa seperti ada sesuatu menitis diatas dada saya. Panas dan melekit. Saya kembali membuka mata dan betapa terkejutnya saya apabila melihat makhluk perempuan yang saya lihat siang tadi sedang tergantung dan dagunya mengeluarkan titisan minyak yang banyak.
Saya cuba bangun tetapi badan saya berat seperti batu. Saya cuba menjerit tetapi suara saya tidak keluar daripada mulut. Saya cuba menggerakkan badan sekuat hati tetapi tidak mampu. Dada saya seperti dibakar dengan api, panas membahang.
Saya cuba membaca Ayatul Qursi tetapi saya gagal kerana tidak boleh membuka mulut dengan betul lalu saya memilih untuk mengucapkan لاَ إِلَهَ إِلَّاالله berkali-kali kerana hanya kalimah itu sahaja yang mampu saya ucapkan tanpa membuka mulut.
Sekali lagi Arjuna muncul dan menarik ibu jari kaki saya dengan kuat. Makhluk perempuan itu segera lenyap bersama hilaian ketawa yang nyaring.
Arjuna membantu saya bangun dengan segera dan mengusap lembut ubun-ubun saya sambil membaca mentera. Walaupun tidak kedengaran suaranya tetapi saya dapat merasai hembusan nafasnya. Akhirnya saya tertidur kepenatan.
***
Sebenarnya apa yang saya lalui itu adalah kesan minyak dagu yang sempat dicalit oleh lelaki itu. Alhamdulillah sihirnya tidak menjadi tanpa izin Allah SWT yang mengawal setiap apa yang ada di langit dan bumi. Sekiranya dia berjaya menakluki saya, sudah pasti saya akan pergi mencari lelaki di perhentian bas itu tadi.
Arjuna? Saya tetap tidak akan sesekali memohon bantuan darinya kerana dia berbeza dengan saya, berbeza dengan kita semua. Bukan saya sombong atau angkuh cuma saya bimbang jika saya jatuh sayang kepadanya saya akan tergolong dalam golongan yang syirik dan khurafat.
Nauzubillah. Saya yakin Arjuna akan pergi juga nanti setelah saya berkahwin. Itu kata puluhan orang bijak pandai kepada ayah saya sekiranya mereka tahu tentang saya.
-Bersambung-
#MayangSari
Comments
Post a Comment