"Awak datang rumah saya, awak marah saya pula. Amboiii dia.." Suara itu terus memarahi saya dalam nada berbisik. Saya mempercepatkan langkah kaki namun terasa berat seperti di pegang oleh sesuatu.
Tak lawak lah Jamilah...
Cuti datang lagi, minggu itu semua penghuni asrama dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Saya minta izin makcik untuk ikut Jamilah pulang ke rumah keluarganya. Alhamdulillah, makcik izinkan dengan syarat saya kena jaga diri dan selalu berhubung dengannya.
Rumah Jamilah terletak berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan atau dulunya terkenal dengan nama Pantai Cinta Berahi. Rumah kampung milik keluarga Jamilah sangat cantik. Rumah kayu beratap zink itu sangat unik. Mungkin dibina oleh seorang tukang ukir kerana setiap batang tiang rumah diukir dengan sangat halus dan teliti.
"Ini rumah arwah nenek aku. Sebelum nenek meninggal, nenek tinggal kat sini dengan atuk. Lepas nenek meninggal awal tahun lepas, kami pindah sini jaga atuk." Ujar Jamilah apabila melihat saya asyik memerhatikan setiap sudut rumah kampung tersebut.
"Ukiran kat batang tiang ni atuk aku yang buat. Atuk aku buat perahu…" Sambungnya lagi.
"Cantik.." Puji saya ikhlas.
"Kau tidur dengan aku yer, sebab sini tak ada bilik kosong." Jamilah membawa saya ke biliknya.
"Eh okay jer… Asalkan saya tak tidur luar sudah.." Saya bergurau.
Jamilah tersenyum manis memandang saya.
"Pandai makan kerabu?" Makcik Siti, ibu kepada Jamilah tiba-tiba muncul di pintu bilik.
"Kerabu?" Soal saya kembali.
"Kerabu jantung pisang bersantan… Biasa makan?"
Saya mengangguk perlahan. Arwah nenek selalu buat masa saya kecil-kecil dulu.
"Dah siap kemas, ajak lah kawan pergi ambil jantung pisang kat kebun atuk, ambil 2 yer…" Arah Makcik Siti terus berlalu meninggalkan kami.
**********
Malam itu saya makan sangat berselera. Kerabu lemak jantung pisang membuatkan saya teringat pada arwah nenek. Kuah singgang ikan tongkol juga sangat menggamit kenangan.
Usai makan saya dan Jamilah duduk bersantai di pelantar depan rumahnya. Biskut lemak bersama kopi o panas menjadi hidangan kami sambil melayan bercerita.
"Arwah nenek aku dulu tukang urut orang bersalin. Mengikut cerita atuk aku, nenek ada membela untuk kuatkan tenaga urut orang. Gila kau sekali jumpa yang besar macam tong drum. Mahu pitam nenek aku kalau tak ada yang 'bantu'. Orang dulu-dulu macam ni lah cari rezeki." Jamilah membuka cerita tentang arwah neneknya.
"Tadi masa makan tak ada pun atuk awak?" Soal saya bila teringat tentang atuknya.
"Oh, atuk ke rumah Pak Long aku, kejab lagi balik lah tu… Tengok cicit baru.." Jawab Jamilah.
"Lepastu masa nenek awak meninggal sempat ke 'buang'?" Soal saya lagi.
"Sempat tapi tak 'dimatikan' sebab yang tolong buangkan tu tak pandai caranya."
"Dah tu letak mana?" Saya semakin teruja.
"Tuuuuu… Tiang seri…" Jawab Jamilah sambil memuncungkan mulutnya ke arah tiang seri yang terukir cantik terletak di tengah rumah.
Saya menelan air liur mendengar jawapan Jamilah sambil melihat ke arah tiang seri tersebut.
"Pucat muka kau… Aku tipu jer lah…"
Berderai ketawa Jamilah kerana berjaya mengenakan saya. Saya juga turut ketawa walaupun lawak Jamilah langsung tidak menjadi.
**********
Malam tu cuaca sejuk. Bunyi deburan ombak semakin jelas kedengaran apabila kesunyian malam mula bertandang. Saya yang terlelap awal tadi tiba-tiba terjaga apabila tekak terasa kering. Saya melihat Jamilah yang sedang lena diulit mimpi. Perlahan saya bangun supaya tidak mengejutkan penghuni rumah kayu tersebut.
Perlahan saya melangkah, tiba-tiba bulu roma saya meremang bila melintasi tiang seri yang dikatakan oleh Jamilah tadi. Walaupun ianya satu lawak, tetapi sempat terbenam ke dalam pemikiran saya yang penakut ini. Saya terus melangkah ke dapur tidak sedikit pun menjeling ke arah tiang seri tersebut.
"Milaaaah… Kau ke tu?" Tiba-tiba suara garau lelaki memecah kesunyian malam.
Gelas saya letak kembali ke rak apabila selesai di cuci.
"Bukan, saya kawan Jamilah…" Jawab saya sopan sambil melilau mencari arah suara tersebut.
"Kawan Milah rupanya, tolong bawa ke tok air suam segelas…" Pintanya dalam loghat Kelantan.
Rupanya suara itu datangnya daripada bilik atuk Jamilah. Perasaan lega kembalikan semangat saya.
"Bila mari?" Soal lelaki yang terbaring di katil sambil menyambut gelas yang berisi air suam daripada tangan saya.
"Siang tadi sampai." Jawab saya perlahan.
"Nak saya panggilkan Jamilah ke?" Soal saya pula apabila kelihatan atuk seperti kurang selesa.
"Eh jangan. Marah Milah nanti. Malam-malam ganggu dia. Bekeng macam singa." Larangnya sambil menunjukkan isyarat tangan supaya saya keluar.
"Saya masuk tidur dulu yer." Saya meminta diri dan terus berlalu menuju ke bilik.
"Amboiii… Bukan main galak awak yer…" Tiba-tiba ada suara yang seakan Jamilah menegur saya.
"Jamilah, awak jangan main-main yer. Tak lawak lah…" Bisik saya perlahan.
"Awak datang rumah saya, awak marah saya pula. Amboiii dia.." Suara itu terus memarahi saya dalam nada berbisik.
Saya mempercepatkan langkah kaki namun terasa berat seperti di pegang oleh sesuatu.
"Jamilah jangan lah. Saya takut…" Rayu saya sambil cuba merentap kaki saya daripada terus di pegang.
"Biasa dia yer, galak dengan laki orang… Amboiii…" Suara itu terus menerus membebel memarahi saya.
Bila sahaja dia menyebut 'laki orang' terus saya teringat kepada atuk yang meminta air di dapur tadi.
"Milah… Jangan di ganggu dia… Tetamu tu.." Suara garau atuk Jamilah kedengaran daripada dapur.
"Abang galak teh dengan perempuan muda…" Tiba-tiba suara itu menjadi sayu…
"Hurrrrmmmm… Hurrrrmmmm… Hurrrmmm….." Suara itu menangis.
Atuk Jamilah datang ke arah saya lalu duduk bersila di kaki saya. Tangannya seperti mengusap sesuatu sambil berbisik lembut. Sekejap sahaja saya menjeling lalu berpaling ke arah lain. Tidak mahu melihat makhluk apakah itu.
"Abang ada sini jaga awak… Lepas dia… Lepas kaki dia. Kawan Jamilah tu… Lepas kaki dia. Kasihan Jamilah baru nak berkawan…"
"Hurrrrmmmm… Hurrrmmm… Huuurmmm…" Suara tangisan itu semakin kuat dan mendayu-dayu.
"Pergi balik tempat awak. Nanti bangun semua orang, tahu awak ada kat sini. Lagi payah nanti. Balik… Balik…" Pujuk atuk Jamilah lagi dalam loghat Kelantan.
"Huuuuuu… Huuuuuu… Huuuuuu…" Makhluk itu terus menerus menangis. Kaki saya dilepaskan tetapi di pegang pula oleh atuk Jamilah. Atuk Jamilah menjampi kaki saya dengan ayat AL Quran dan menggosok dengan air sejuk. Lega rasanya tidak seperti tadi panas dan pijar seperti terkena cili.
Saya memberanikan diri melihat ke arah tiang seri di tengah rumah. Jelas di mata saya, makhluk perempuan yang menyerupai Jamilah menjalar memanjat tiang tersebut hingga ke atas lalu hilang di celah atap yang sedikit berlubang.
"Apa yang awak nampak malam ni jangan cerita pada orang. Tak sangka Jamilah ada kawan yang hijab terbuka. Itu yang tok bimbang kalau Jamilah bawa balik orang ke rumah." Ujarnya perlahan.
"Tok kena jaga 'dia' sampai akhir hayat tok. Jika tok tak ambil alih, Jamilah akan mewarisi sebab dari dalam perut lagi 'dia' dah mintak. Kesian Jamilah..." Sambungnya lagi sebelum kembali ke bilik.
Saya hanya mampu mendiamkan diri walaupun sudah terbiasa dengan perkara seperti itu tetapi bukan beerti saya akan menerima dengan perasaan tenang. Hijab saya kembali terbuka sedikit demi sedikit dan itu membuatkan saya berasa takut.
Entah jam berapa saya dapat lena, saya sendiri tidak pasti. Suara tangisan makhluk yang mendayu-dayu diatas atap itu berselang-seli dengan deruan ombak benar-benar mengganggu perasaan saya.
"Weh… Kau uzur yer..?" Soal Jamilah sambil menunjukkan cadar yang ada kesan darah.
"Allahuakbar… Maaf… Saya tak sedar. Tak pa saya cuci…" Segera saya melipat cadar tersebut untuk di cuci.
Jamilah ketawa kuat melihat saya yang kalut itu. Sekali lagi bulu roma saya meremang apabila melintasi tiang seri tersebut. Terasa seperti diperhatikan oleh seseorang. Saya terus berjalan ke dapur tanpa menoleh ke arah situ.
"Awal bangun. Kenapa bawa cadar turun? Kencing tempat tidur ke?" Soal Makcik Siti sambil melihat ke arah Jamilah yang masih ketawa itu.
"Uzur maaa… Tembus" Jamilah tolong jawabkan untuk saya.
Makcik Siti menggeleng kepala sambil tersenyum melihat saya yang bergegas ke bilik air.
"Maaa atuk tak balik ke malam tadi? Tu pintu bilik berkunci lagi…"
Sayup-sayup kedengaran suara Jamilah bertanya tentang atuk.
"Belum… Siapa nak hantar? Pak Long sibuk… Alaaa esok lusa balik lah. Bukan boleh lama-lama tinggal bilik tu." Jawab Makcik Siti separuh menjerit.
"Belum..? Habis tu siapa malam tadi?" Getus hati saya.
"Kau pun sama… Time ni lah kau datang… Tak aman betul lah" Marah saya lagi sambil menyental kesan darah uzur di cadar sekuat hati…
Itulah pertama dan kali terakhir saya mengikut Jamilah pulang ke rumahnya. Bukan sombong atau takut tapi saya tidak mahu mengganggu kedamaian keluarga Jamilah lagi. Aib keluarga dia, biarlah ditutup rapi.
Sekali lagi saya ingin berpesan dan sampai bila-bila saya tidak akan pernah letih untuk berpesan. Jauhilah sihir dan ilmu hitam kerana ia akan memburu ahli keluarga kita sampai ke pewaris yang terakhir. Sekali 'dia' melekat, sampai bila-bila 'dia' akan bersama kita dan keturunan kita. Nauzubillah…
#MayangSari
Gambar sekadar untuk hiasan.
Sumber daripada Google.
Nota : Kebanyakan dialog dalam cerita diatas sudah saya tukar menjadi normal sebab dialog tersebut dalam loghat Kelantan dan saya tak pandai nak ajukðŸ¤
Panda hadir kak MS💗💗💗
ReplyDelete