ARJUNA DATANGLAH KEPADAKU

 




ARJUNA - DATANGLAH KEPADAKU
Episod 3

Jika dia hilang sementara waktu pasti saya pula yang akan rindu… Rindu pada senyuman dia, rindu pada renungan mata dia, rindu pada syair qasidahnya dan rindu segala-galanya tentang dia. Pasti akan saya seru…

"Arjuna datanglah kepadaku.."

***

"Hulwati aku terpaksa pergi…" Pagi yang damai itu bertukar menjadi suram apabila Arjuna menyatakan itu kepada saya. 

Setelah sekian lama saya bersamanya, selepas subuh yang tenang, Arjuna menyatakan dia akan pergi.

"Pergi mana? Kenapa? Selamanya?" Bertubi-tubi soalan saya kemukakan dan Arjuna hanya menjawab dengan pandangan yang sayu.

"Jawab Juna… Kemana? Kenapa? Selamanya kah?" Bergetar suara saya mengulangi soalan itu lagi.

Arjuna masih merenung saya. Renungan yang mampu menembusi perasaan saya dan saya yakin jawapan yang bakal diberikan itu nanti akan membunuh jiwa saya. 

"Hulwatiku…" Keluhan yang saya dapat teka apa yang tersirat. 

"Janji kau apa? Sumpah kau apa? Lupa?" Soal saya sambil menahan tangis.

"Hulwati, aku tetap ada… Itu janji dan sumpah aku…"

"Lalu? Ini apa Juna?" Soal saya sambil mengepal sirih di dalam genggaman.

"Untuk kebaikan kau Hulwati.." Arjuna membuka genggaman tangan saya lalu mengambil sirih itu dan menyua ke mulut saya. 

"Kebaikan apanya? Sakit Juna… Sakitnya di sini… Sakit sangat…" Saya menangis. 

Jari telunjuk saya menunjal-nunjal dada bidang Arjuna yang sedang duduk mengadap saya dalam keadaan antara dua sujud.

"Percayalah pada aku, selepas kau makan sirih ini, kau tidak akan sakit lagi… Rasa sakit itu akan hilang… Jika kau makan, aku akan turuti kemudian…" Pujuknya lagi. 

"Kau kejam… Sanggup kau lupakan aku? Junaaaa pandang sini lah bodoh!!" Jerit saya bila matanya sudah beralih arah. 

"Aku rayu… Makan lah sirih ini… Kita sudah kesuntukan masa… Fajar mula menyinsing, mentari akan bersinar dan aku akan lenyap daripada pandangan matamu... Aku tidak mahu pergi meninggalkan kenangan kita tergantung begini.!" Bergenang sudah kolam matanya dengan air jernih. 

"Biar mati sekalipun tidak akan aku telan racun itu Juna…" Saya tekan suara sedalam-dalamnya sambil menggenggam kolar baju melayu teluk belanga Arjuna sehingga renyuk sama seperti remuknya hati saya ketika itu. 

"Aku langgar sumpah dan janji terhadap guruku. Aku tidak seharusnya jatuh cinta pada kau," akhirnya Arjuna menceritakan segalanya kepada saya (kisahnya apa biarlah menjadi rahsia saya). 

Kolar baju Arjuna saya lepaskan. Saya meraung sekuat hati. Arjuna terlalu kejam buat saya begitu. 

"Bolehkah aku hidup tanpa kau Juna? Bawa aku pergi…" Rintih saya tanpa perasaan malu lagi.

"Tempat kau di sini. Kekal lah di sini. Janganlah dek kerana kasih, aku akan bawa 'mereka' kemari…" Arjuna kembali meletakkan sirih itu di tapak tangan saya (siapa mereka, biarlah menjadi rahsia saya). 

"Kau sakit, aku lagi sakit. Makan lah Hulwati, jangan berdegil. Aku bersumpah dengan nama yang Maha Agung, selagi kau tidak makan sirih itu, tidak akan aku nyatakan diriku di depan matamu lagi. Hidup dan matiku hanyalah di landasan perjuanganku yang satu… Itu janji ku pada sang guru."

Sirih yang hampir lunyai itu masih di genggaman Arjuna, menunggu saya makan dahulu barulah dia akan turuti kemudian.

**********

"Adiiikkk… Kau okay tak? Buka pintu ni!" Jerit Mila sambil mengetuk pintu bilik. 

Tersedu sedan saya menahan tangis. Gementar tangan untuk memasukkan sirih itu ke mulut.

"Kalau aku tak makan Juna?" Soal saya perlahan.

"Kekal lah aku sebagai bayang-bayang tanpa rupa dan bentuk kerana itu sumpahku Hulwati.Kita tak mungkin bersama…" Jawab Arjuna juga perlahan. 

"Sekejap lagi fajar akan menyingsing, sebaik sahaja imsak tiba, aku akan lenyap selamanya. Kita sudah kesuntukan masa. Aku tidak mahu pergi selagi kau tidak lupakan aku. Makanlah Hulwatiku.." Ulanginya lagi. 

Seperti biasa, segak dia duduk di bangku tulis menunggu saya menjamah sirih itu. Perlahan saya membawa 'racun' itu ke mulut. Sedetik pun tidak saya lepaskan pandangan mata saya daripada merenung Arjuna. Biarlah dia lenyap di depan mata agar saya tahu ini adalah realiti.

Suara Mila dan ketukan pintu sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin Mila dah jemu menghadap perangai saya yang tidak menentu ini. Sebaik sahaja 'racun' itu masuk ke mulut, Arjuna turut memakan sirih di genggamannya.

"Kau kejam Juna…" Rintih saya bertalu-talu. 

"Kerana aku sayang kamu..." Kenyataan yang tidak akan saya lupakan sehingga kini. 

Arjuna lenyap daripada pandangan mata saya bersama kabus putih yang kian menghilang di bawa angin subuh. 
Saya sembamkan muka ke bantal. Sirih di mulut saya keluarkan, lalu meratap hiba lah saya mengenangkan Arjuna yang sudah lupakan saya. 

Azan subuh berkumandang. Mila muncul bersama tuan rumah di pintu bilik. Rupanya Mila telah hubungi tuan rumah supaya membawa kunci kedua setelah gagal memujuk saya supaya membuka pintu bilik. 

"Allahuakbar adikkk…" Jerit Mila bila melihat saya yang tidak berdaya itu.

"Apa ni dik?" Mila mengambil sirih yang ada di tangan saya. 

"Ni sirih yang bomoh penipu tu bagi aritu kan? Kau simpan lagi ke? Kan ustaz tu suruh buang…" Tanpa menunggu jawapan daripada saya…

Buuuurrrrrrrr… Jelas kedengaran bunyi 'flusk' ditarik.

"Kau tipu aku Hulwati…" Bisikan yang akan saya kenang selamanya…

"Kau juga tipu aku Juna.." Balas saya perlahan bersama esakkan tangis yang semakin ketara. Tahulah saya dia juga tidak menjaga sirih tersebut. 

*********

Masa silih berganti. Bukan senang untuk saya lupakan Arjuna. Tapi saya cuba terima kenyataan bahawa kisah saya dan Arjuna sudah tamat. Jika tidak kerana tugasnya, saya yakin Arjuna masih ada bersama saya. 

Saya tahu Arjuna juga tidak memakan sirih tersebut kerana sesekali saya boleh rasa kehadiran dia. Bermakna dia masih ingat kepada saya lagi. Selepas Arjuna pergi, perasaan saya untuk menerima cinta, tertutup rapat. Takut kecewa lagi, sakit sangat rasanya.

Setiap 24hb 10, Bandar Pekan pasti akan meraikan hari ulangtahun kelahiran Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Pada tarikh itu jugalah, Bandar Pekan akan mengadakan pesta jualan seperti ekspo/bazar raya. 

Masih segar di ingatan di tarikh yang sama pada tahun 2003, saya berjalan bersama ayah dan mak untuk melihat jualan. Tiba-tiba bahu saya terlanggar dengan seseorang yang sangat saya kenali.

"Iman!!" Terkeluar nama itu di bibir saya. Dia yang mendengar namanya disebut langsung mematikan langkah dan datang ke arah saya. 

"Adik?" 

Kami bertukar nombor telefon. Sebulan kami berhubungan, Iman terus menghantar keluarganya datang merisik. Rupa-rupanya ayah Iman dan ayah saya teman baik sewaktu sama-sama bawa bas pada pertengahan remaja dulu kala. 

Jadi ayah yang kenal budi pekerti keluarga Iman langsung menerima pinangan tersebut kerana ayah tahu itu yang terbaik untuk saya. Sekurang kurangnya ada yang akan menjaga saya dengan lebih baik.

Iman juga tahu kisah saya dengan Arjuna. Iman banyak membantu saya untuk melupakan Arjuna dengan menabur kasih dan sayangnya kepada saya tanpa had. 

Iman juga telah buktikan kepada saya sesama manusia lebih indah dan nyata berbanding cinta dengan makhluk yang tidak nyata. Iman cinta dunia dan akhirat saya.

-Bersambung-


Comments

Popular posts from this blog

Tanpa Izinnya

"Bukan kakak lah. Apa hodoh sangat rupanya itu.?" Soal arwah nenek apabila kakak mula membuka pintu pagar untuk masuk ke laman rumah.

MEE GORENG BASAH RINA