AKU PUNYA, JANGAN AMBIL...!!
Aku punya, jangan ambil...!!
Tempat jatuh akan dikenang, inikan pula jika ada parut yang tinggal. Saya yakin, di tubuh para sahabat FB saya pasti akan ada satu parut yang akan di kenang kisahnya sampai mati. Betul tak? Tak kiralah di mana tempatnya, tetapi sekali pandang pasti akan terus teringat bagaimana parut tersebut ada di situ.
Sama seperti saya. Setiap kali memandang cermin pasti akan nampak kesan lekuk di dahi. Mujurlah bukan sejenis parut hitam, hanya kesan lekuk yang dalam. Apabila terpandang pasti saya akan tersenyum sendirian. Lasak juga saya ni kan? Pokok pun saya panjat apatah lagi hati kalian... Ceeewah... Gurau jer.ðŸ¤
Bagaimana parut tersebut boleh ada disitu? Mari saya ceritakan...
Petang itu selepas asar, saya bersama Alin dan adik beradiknya berjanji untuk menziarahi Wati. Sudah 3 hari Wati tidak ke sekolah jadi kami berempat bercadang untuk menziarahi nya. Setibanya di rumah Wati, kelihatan dia sedang bersantai di bawah pokok asam jawa yang sedang berbuah lebat. Rupanya Wati demam cacar air (chicken pox). Habis seluruh badannya ditumbuhi bintik-bintik berair. Lucu sekali apabila melihat badannya yang penuh dengan bedak sejuk itu.
"Kau jangan dekat nanti berjangkit." Wati melarang kami menghampiri dia kerana bimbang dijangkiti kerana adik beradik Wati juga turut mengalami demam yang sama.
"Banyaknya buah asam... Nak minta sikit..." Kecur air liur saya melihat asam jawa yang terjuntai-juntai di pohon.
"Panjat sendiri. Aku tak boleh panjat. Miang...!!" Jawab Wati beri keizinan.
Apabila keizinan diberi, kami berempat terus memanjat pokok asam jawa yang sedang merimbun itu. Sedang asyik saya mengutip buah yang sedang ranum tiba-tiba ada sesuatu menyapa saya.
"Yang tu aku punya jangan ambil!!" Saya mendongak ke arah suara itu. Makhluk yang menyerupai seperti kera itu sedang bertenggek di dahan yang paling hujung.
"Ambil lah kau. Aku tak nak.." Jawab saya endah tak endah.
Penuh satu plastik, saya bercadang untuk turun. Kelihatan Alin dan adik-beradiknya masih rancak memetik.
"Aku nok colek dengan cuka belacan..." Kata Alin apabila melihat saya sedang memperhatikan dia memetik asam jawa muda.
"Hooooiii itu akuuu punyaaaa..."
Tiba-tiba suara mahkluk yang saya nampak tadi menjerit nyaring. Rupa-rupanya adik Alin sudah terambil segugus asam jawa yang ditunjukkan kepada saya oleh makhluk itu tadi.
"Turun lah budok oi... Maghrib doh ni... Nyusuk ke antu kera satgi padan muka..." Jerit nenek Wati daripada tingkap dapur.
"Aku punya... Aku punya... Aku punya..." Jerit makhluk yang menyerupai kera itu berkali-kali sambil meludah-ludahkan air liurnya kearah kami. Air liurnya bertaburan merata-rata.
Saya yang nampak itu terus melompat turun tanpa pedulikan mana satu dahan yang kukuh atau yang rapuh. Sebab saya sejenis penggeli. Bukan setakat air liur jin, air liur suami pun saya geli😅. Jangan haraplah nak berkongsi cawan atau sudu dengan saya🤣. Tiba-tiba saya terpijak ranting pokok dan...
DUSSSSHHH macam nangka buruk saya jatuh.
"Kau dah kenapa macam nampak hantu? Tok Wan aku gurau jer lah. Mana ada hantu kera..." Ujar Wati.
Alin dan adik-adiknya yang nampak saya jatuh tertiarap mencium pasir itu langsung ketawa apabila melihat butiran pasir penuh di muka saya.
"Eh dik darah..." Alin menjerit apabila melihat dahi saya berdarah. Mungkin tersangkut pada ranting ketika saya menyusur kebawah tadi.
"Galoh ada gi ngukah. Awok ni perempuan bukan jantan.." Tegur nenek Wati sambil menyapu ubat di dahi saya.
Balik daripada rumah Wati, Alin adik beradik tergaru-garu kerana badan mereka sudah naik bintat-bintat kecil dan lama kelamaan menjadi semakin bengkak dan lebar. Saya yakin itu adalah kesan daripada air liur makhluk itu tadi. Mujurlah saya sempat lari menyelamatkan diri walaupun jatuh berdebuk ke tanah.
Keesokan harinya mereka pula yang demam cacar air seperti Wati. Hampir seminggu demam mereka tidak kebah dan biji-biji air itu terus tumbuh malah ada yang bernanah. Arwah Pak Mail bertanya kepada saya kemana kami pergi sebelum mereka demam. Saya menceritakan kepada arwah Pak Mail tentang apa yang saya nampak. Rupa-rupanya mereka terkena ludahan jin yang menunggu di pucuk pokok asam jawa Wati.
Setelah ditawarkan air, Alhamdulillah mereka kembali sihat. Semenjak itu saya dan Alin serta adik-adiknya tidak lagi bermain di rumah Wati kerana dilarang keras oleh pak Mail.
Buat pengetahuan semua. Penunggu itu bukanlah milik keluarga Wati, tetapi oleh kerana pokok tersebut terlalu rimbun dan tinggi adalah menjadi kesukaan jin tumpang berteduh di situ apabila hari sudah menjelang senja, maghrib hampir tiba atau ketika kilat dan guruh berdentum. Oleh sebab itulah jangan sesekali berlindung di bawah pokok besar sekiranya kilat sambar menyambar bimbang kita juga turut di panah petir. Saya nak ingatkan juga kepada yang ada pokok besar merimbun tanpa ada kepentingan, tolong cantas dan buang rimbunan nya supaya tidak menjadi tempat jin berlindung...
Sebenarnya makhluk itu pun bukan nak makan asam jawa tersebut. Sengaja bagi tanda untuk menganggu kami. Silap saya juga kerana menjawab teguran daripada dia. Jika saya tidak menjawab, dia pun tidak tahu saya mampu melihat dia dan kejadian ke atas Alin adik beradik tidak berlaku.
#MayangSari.
Comments
Post a Comment