Jelmaan lelaki yang berambut panjang paras bahu itu benar-benar bermakna bagi saya yang sedang mengubati sendiri luka di hati. Siang nampak saya gembira tapi malam saya ibarat si gila Laila mengejar cinta Majnum.
Datanglah kepadaku...
"Awak tahu tak dia dah kawin? Selama awak berkawan dengan dia, awak langsung tak tahu dia ni suami orang?" Soal ibunya kepada saya.
"Awak tak kesian ke tengok isteri dia dengan anak dia tu?" Tambahnya lagi sambil menuding jari ke arah perempuan yang sedang menangis sambil memeluk bayi berusia lebih kurang dalam 5 bulan.
Saya terkedu duduk terperuk di tepi dinding manakala dia yang saya namakan sebagai Ayie itu gigih menghalang ibunya mendekati saya. Hiruk pikuk sekali suasana di dalam rumah itu dengan jerit pekik ibunya mamaki hamun saya dan tangisan anaknya yang mungkin kelaparan susu.
"Maa dah lah, adik tak salah maa. Ayie yang salah, Ayie tak cerita pun kat dia Ayie dah kawin…" Berkali-kali Ayie terangkan kepada ibunya keadaan sebenar.
"Mung jangan nipu Yie. Sepatutnya bukan dia mu peluk, nung bini mung yang mung kena pujuk. Bukan betina nim… Heee dokleh lah aku… Mujur anok orang, kalu anok sendiri aku lada doh biji tu.." Jerit ibu Ayie lagi sambil memukul-mukul Ayie yang mencangkung di hadapan saya bagi mengelakkan ibunya menyerang saya.
Tiba-tiba isteri kepada Ayie bingkas bangun dan menuju ke arah saya.
"Lida… Awak jangan gini. Abang saloh, dia dok tahu menahu abang doh ada awak…" Ayie juga turut menghalang isterinya menghampiri saya.
Mila bangun daripada duduknya dan memeluk saya. Bimbang saya di serang ahli keluarga Ayie apabila melihat Ayie menarik isterinya keluar.
"Saya bukan bodoh macam abang. Meh ikut akak.." Lida menarik tangan saya lalu membawa saya masuk ke bilik dan menguncinya daripada dalam.
Suasana sunyi dalam bilik sangat berharga bagi saya ketika itu berbanding dengan keadaan di luar sana.
"Berapa lama dah awak dengan suami akak? Awak langsung tak tahu dia dah kawin?" Soal Lida kepada saya. Saya hanya diam. Masih terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
"Cer cerita kepada akak. Cara dia sayang awak macam awak dah pernah 'bersama' dengan dia. Awak dah tidur ke dengan dia?" Soalnya lagi, mungkin dia melihat cara Ayie memeluk saya dan membiarkan ibunya memukul belakang Ayie membuatkan dia terfikir bahawa saya dan Ayie sudah terlanjur.
"Awak muda lagi, baru 19 tahun. Ayie pulak 21, akak dah 41, jadi akak faham jika awak tertipu dengan Ayie." Keluh Lida lalu memeluk saya erat.
Benar, saya tertipu. Ayie saya kenal semasa saya dan Mila sedang mencari keperluan dapur rumah sewa kami. Ayie langsung tidak menceritakan bahawa dia sudah berkeluarga sedangkan saya pernah terjumpa gambar Lida bersama anaknya di dalam kereta.
"Kakak saya dengan anak buah saya ni."
Memandangkan dalam gambar Lida nampak lebih tua daripada Ayie, jadi saya percaya. Hampir 1 tahun lebih saya bersama Ayie membuatkan sayang saya pada Ayie sangat kuat. Saya pernah 'membaca' Ayie dan firasat saya kuat mengatakan bahawa Ayie sudah dimiliki tetapi dek kerana mati-matian Ayie tidak mengaku dan bersumpah dengan Al Quran, jadi saya abaikan firasat tersebut.
"Awak tengok, setiap Sabtu dan Ahad abang mesti turun Kuantan cari awak, seminggu abang kat laut. Cuti mesti cari awak. Bila masa abang dengan isteri kalau betul abang dah kawin?"
Yer begitu lah keadaan saya dan Ayie selama setahun lebih bersama. Ayie bekerja di Pelantar Minyak Paka. Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dia akan balik ke darat, jadi ia membuatkan saya lebih lagi percaya dengan pengakuan Ayie.
"Jin mana mung pakai sampai Ayie lupa anok bini dia hah?"
Tiba-tiba tangan saya direntap kuat oleh ibu Ayie yang melulu masuk.
"Ma apo ni, tubik lah meta… Jin dari mano pulok ni ma. Jangan nok ngarut lah…" Lida menghalang ibu Ayie daripada terus menarik saya keluar. Masa itu saya benar-benar tidak berdaya, lesu dan sangat terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
"Weh laaa… Mung pun doh terkena dengan guna-guna budok ni ke Lida? Tadi mung kabo benda.? Nok ganyang lah, nok wi lade lah… Saknim kemain maroh lagi ke dia.. Pahtu? Mung lupa ke Pakngoh kabo benda… Si Ayie tu doh terpesona dengan jin budok ni!!" Ibu Ayie masih tidak mengalah.
Saya bangun daripada katil Lida, dengan sisa-sisa semangat yang tinggal saya merentap kuat tangan saya daripada genggaman ibu Ayie.
"Kak Lida. Saya minta maaf… Saya dengan Ayie masih ada batasan dan masih belum terlanjur. Saya tak tahu Ayie dah ada anak dan isteri, saya minta maaf. Akak ambil suami akak, saya nak balik… Tolong pulangkan beg duit saya, IC saya dan kad pelajar saya. Saya nak balik…" Dengan tenang saya meminta barang-barang saya daripada Lida.
Usai saya dapat barang-barang saya daripada tangan Lida, saya keluar dipimpin oleh Mila. Ayie menangis teresak-esak ibarat suami kematian isteri.
"Adik… Jangan tinggal abang dik. Sumpah abang mati… Lida… pujuk dia Lida… Awak tahu kan saya nikah dengan awak sebab apa. Ma.. Ma tahu kan cerita antara saya dengan Lida. Ma saya sayang adik ma. Tolong ma…"
Rayu Ayie. Sumpah masa tu saya sangat tidak kuat tapi saya tahan air mata saya daripada jatuh. Setahun lebih kami bersama, sangat mustahil saya boleh lepaskan Ayie dengan mudah. Tapi apakah daya… Dia suami orang dan saya tidak akan menjadi kaca menghiris perasaan wanita lain untuk saya bahagia. Tidak sesekali saya akan menari diatas pentas air mata seorang wanita lain.
Ayie melutut dan memeluk erat kaki saya yang cuba melangkah manakala ibu dan abang kepada Ayie cuba menarik Ayie daripada terus memegang kaki saya. Ayie meronta-ronta seperti dirasuk. Saya hanya membatu kan diri melihat gelagat Ayie. Perasaan simpati, sayang dan benci bercampur baur dalam diri saya. Ingin sahaja saya menghulurkan tangan dan mengajak Ayie pergi bersama-sama tetapi perasaan satu lagi meminta saya menendang Ayie dengan kaki sekuat hati biar tercampak jauh daripada mata pandangan saya.
Tiba-tiba seorang lelaki yang dipanggil Pakngah itu melaungkan azan. Saya tersedar daripada lamunan, jelas kelihatan Ayie terkulai tidak sedarkan diri. Kesempatan itu diambil oleh Mila membawa saya pergi.
*****************
Sedikit sebanyak kitaran hidup sedih saya yang dapat saya kisahkan untuk para pembaca faham punca daripada kisah saya seterusnya.
Perjalanan daripada Terengganu ke Kuantan sangat panjang. Saya merengkok di kerusi penumpang sambil memeluk sweater Ayie yang tertinggal dalam kereta. Akhirnya saya meraung sekuat hati. Air mata yang saya tahan tadi tumpah juga. Mila yang sedang memandu kereta itu hanya membiarkan saya melepaskan rasa kecewa di atas apa yang sedang berlaku.
Setibanya di rumah sewa, saya disambut oleh Intan dan Nuha. Kami berempat sama-sama menangis pada malam itu.
Malam pertama selepas kejadian itu, hidup saya terasa sangat kosong. Tiada lagi mesej dan panggilan daripada Ayie seperti biasa. Rindu saya pada Ayie sangat kuat dan ia membuatkan perasaan saya sangat sakit.
Hampir seminggu saya tidak masuk kelas atas alasan cuti sakit. Hampir gila saya kerana setiap perkara yang saya buat akan mengingatkan saya kepada Ayie.
"Solat dik…" Sedang saya melayan perasaan rindu kesumat saya terhadap Ayie, ada satu suara berbisik.
"Solat dik… Istighfar dan berzikir banyak-banyak" Bisikan itu masih bergema di telinga saya. Saya keluar daripada bilik. Kelihatan Mila, Intan dan Nuha sedang asyik menonton tv.
"Dik… Mari…" Panggil Nuha bila melihat saya keluar daripada bilik setelah seminggu duduk terperuk.
Saya menggelengkan kepala dan masuk semula ke bilik.
"Cari siapa? Aku di sini sahaja…" Suara itu masih lagi berbisik.
"Solat dik.. Kamu sudah lama tidak solat kan? Solat… Cari ketenangan dengan bersujud di sejadah. Cari kiblat kamu, cari siapa tuhan kamu dan apa pegangan kamu dik..." Suara itu masih lagi ada dalam bilik saya.
Saya duduk berteleku sambil menarik selimut. Saya menangis lagi. Tiba-tiba ada angin lembut dan sejuk lalu menyapu wajah saya membawa haruman yang sangat saya kenali. Ada tangan mengelus lembut rambut saya. Semakin kuat esakkan saya.
"Aku rindu dia.." Saya mengadu perasaan.
"Sshhhhh… Tidur lah… Tidur lah… Tenangkan diri…" Tangan itu masih mengelus rambut saya. Saya tidak mahu berpaling kerana bimbang 'dia' akan hilang. Saya selesa 'dia' ada bersama saya.
"Mana kau pergi tinggalkan aku sendirian?" Soal saya dalam sendu.
"Kau bahagia, untuk apa aku ada? Aku hanya akan menemani disaat kau berduka supaya kau tidak hilang pedoman… Aku kan sudah berjanji, kau gembira aku ada, kau bersedih aku tetap akan ada… Tidak aku tinggalkan kau di setiap suka dan duka kau." Bisikan itu begitu syahdu sehingga saya tidak sedar jam berapa saya lena.
"Dik, malam tadi aku dengar kau bercakap dengan siapa? Kau call Ayie eh? Jangan lah… Suami orang tu.." Mila bertanya sambil menasihati.
"Eh yer ke aku bercakap. Mana ada.." Dalih saya.
"Tak kisah lah apa pun, tapi yang pasti aku suka tengok kau pagi ni. Happy.."
Yer, perubahan yang sangat ketara walaupun sakit itu ada tapi tidaklah seperit yang lalu. Saya menjeling ke arah susuk tubuh jelmaan lelaki yang hampir sekian lama menghilang. Hilang entah ke mana selepas saya mengenali Izham. Dia tersenyum manis memandang saya sambil menganggukan kepala bererti gembira melihat saya tersenyum.
"Aku subuh dulu yer… Jumpa sarapan nanti…" Saya berlalu dengan senyuman manis meninggalkan Mila yang turut tersenyum.
Cepatnya saya melupakan Ayie..?
Eh.. Mana mungkin saya boleh lupakan dia. Tangisan rindu untuk dia sentiasa ada di setiap malam saya. Lunyai sudah sweater Ayie menjadi tempat saya melepaskan geram, marah dan rindu saya padanya dan setiap itu jugalah dia yang saya namakan sebagai Arjuna datang memujuk.
Setiap kali saya meraung, mengamuk, melepaskan amarah kerana ditipu, Arjuna akan tenang duduk di kerusi memandang saya sambil berzikir dan berqasidah dengan sangat merdu sehingga hilang segala resah saya. Arjuna akan tutup segala lubang angin supaya kawan-kawan saya tidak tahu saya sedang sengsara. Aib saya tidak akan terkeluar dan mereka tidak akan tahu saya sedang kecanduan cinta suami orang.
Jelmaan lelaki yang berambut panjang paras bahu itu benar-benar bermakna bagi saya yang sedang mengubati sendiri luka di hati. Siang nampak saya gembira tapi malam saya ibarat si gila Laila mengejar cinta Majnum. Dapatkah kalian gambarkan bagaimana keadaan saya…?
Sebulan berlalu. Derita saya semakin berkurangan. Arjuna banyak membantu. Setiap kali ingatan saya mula meneroka kisah cinta saya dengan Ayie, Arjuna akan memintas ingatan tersebut dengan pelbagai zikir penenang tidak kira dimana saya berada. Alunan zikir dan syair qasidah akan berkumandang di cuping telinga saya ibarat angin yang berdesir.
Satu hari ketika saya bersendirian di rumah, ibu Ayie muncul di hadapan pintu rumah saya bersama Lida dan pakngahnya.
"Dik… Tolong lepaskan Ayie… Akak sanggup bagi apa sahaja yang adik mahu asalkan lepaskan Ayie…" Rayu Lida kepada saya.
Saya tidak dapat tangkap apa yang Lida cuba sampaikan.
"Dah sebulan dia macam ni. Menyebut nama kamu… Makan minum pun tak lalu. Lepaskan dan maafkan dia dik. Pakngah tahu kamu faham apa pakngah maksudkan…" Pakngah melihat ke arah Arjuna yang tegak berdiri di sebelah saya.
"Saya tak pernah guna-guna kan Ayie pakcik. Sumpah demi Allah saya tak pernah guna-guna kan dia seperti yang pakcik maksud kan itu.." Ujar saya jujur.
"Pakngah tahu kamu tidak guna-guna kan Ayie. Pakngah juga tahu pakngah salah sebab tuduh kamu yang bukan-bukan haritu. Masa kamu jejak kaki ke rumah tempoh hari, ada jin betina bersama kamu. Jin itu ibarat jelmaan kamu, persona kamu dan pendamping kamu. Tapi rupa-rupanya Ayie yang salah, Ayie yang guna-gunakan kamu dengan minyak cenuai. Sekarang kami datang nak minta kamu lepaskan Ayie dan pulangkan sweater Ayie kembali." Penjelasan Pakngah Ayie membuatkan saya terkedu.
"Tapi… Jika Ayie ada buat seperti itu, sudah pasti saya…"
"Yer disebabkan itulah kami datang minta kamu lepaskan Ayie. Sewaktu kamu balik, jin betina itu tidak ikut kamu kerana kamu dijaga rapi. Penjaga kamu telah memisahkan jin tersebut daripada kamu tetapi 'rumah'nya masih ada bersama kamu. Pulangkan sweater Ayie dan selebihnya kami akan uruskan untuk membuangnya." Pinta pakngah, sekali lagi menjeling ke arah Arjuna yang tidak sesaat pun berganjak daripada tempat dia berdiri.
"Maa mintak maaf sebab maki hamun adik haritu. Maa tak tahu Ayie punca. Adik tengok lah keadaan dia sendiri. Mari maa tunjuk.."
Kami berjalan menuju ke kereta. Ada Ayie di situ dan…
"Ayie…" Rintih saya apabila melihat keadaan Ayie yang kurus dan cengkung itu. Ayie ibarat mayat yang bergerak. Hanya tinggal kulit bersama tulang sahaja.
Saya hampir terjelepuk jatuh tapi berjaya di sambut oleh Arjuna. Semangat saya hilang apabila melihat jin yang dikatakan oleh pakngahnya itu memeluk erat Ayie yang tidak berdaya. Tangannya yang panjang dan runcing itu melingkari tubuh Ayie ibarat kekasih yang tidak mahu berpisah.
"Adik… Ayie sakit…" Perlahan sahaja suara Ayie menyampaikan keadaannya kepada saya.
"Tergamak awak Ayie…" Balas saya langsung meninggalkan dia sendirian di dalam kereta.
Seperti dipinta, saya pulangkan satu-satunya kenangan Ayie yang saya ada.
"Cukuplah sampai disini sahaja saya sengsara. Cukuplah dengan apa yang kamu berikan kepada saya, semuanya sangat sakit Ayie. Terima kasih.."
Ayat terakhir saya kepada Ayie sebelum mereka bergerak pulang biar dia telan perbuatan dia sampai ke hujung nyawa. Saya yakin, jika tidak dengan pertolongan Allah SWT, sudah pasti sayalah yang akan duduk di tempat Ayie itu.
Alhamdulillah, semenjak saya pulangkan sweater tersebut, hidup saya kembali kepada asal. Bertemankan Arjuna bersama zikir malam dan syair qasidah yang menusuk kalbu, tidur malam saya bertambah lena dan solat saya semakin tenang.
Jelmaan lelaki berambut panjang paras bahu, tinggi dan sasa itu membuatkan saya rasa lebih selamat walaupun dia hanya duduk di kerusi memerhati saya lena. Walaupun dia sentiasa berdiri di sudut kelas, berdiri di luar pintu tandas dan dimana-mana sahaja dia ada, saya sudah tidak berasa rimas lagi. Jika dia hilang sementara waktu pasti saya pula yang akan rindu… Rindu pada senyuman dia, rindu pada renungan mata dia, rindu pada syair qasidahnya dan rindu segala-galanya tentang dia. Pasti akan saya seru…
"Arjuna datanglah kepadaku.."
-Bersambung-
Comments
Post a Comment