Makhluk itu mula mendekati saya dan bau busuk seperti bangkai mula mengganggu pernafasan saya. Makhluk itu meletakkan tangannya yang kasar itu ke pipi saya, matanya yang buntang dan hampir terkeluar itu memandang tepat ke mata saya. Giginya yang tajam itu menyeringai ibarat serigala bersedia untuk meratah mangsa.
Gambar sekadar hiasan
Tarik Harta
"Dik… Malam ni kita ikut orang pergi tarik harta nak?" Tanya Hisyam sambil tersenyum.
"Hah? Tarik harta? Harta siapa?" Soal saya kurang faham, pandangan saya beralih pula kepada Izham di sisi.
"Harta ni orang 'sana' punya... Kita ambil sikit jer…" Terang Hisyam pendek.
"Mencuri lah tu… Tak nak lah…" Sanggah saya tidak bersetuju.
"Izham pun nak ikut, kalau dapat nanti kita boleh tolong orang susah. Dengan apa yang kita dapat, kita boleh bersedekah dan bagi bantuan kepada orang yang memerlukan…" Pujuk Hisyam dan saya setuju apabila disebut tentang sedekah.
Malam itu selepas saya mendapat kepercayaan ayah dan mak untuk bermalam di rumah kawan, saya terus hubungi Izham supaya menjemput saya untuk dibawa ke rumah Hisyam.
Setibanya di rumah Hisyam, ada beberapa orang lagi yang akan turut serta bersama kami. Menurut Hisyam mereka terdiri daripada orang yang ada masalah kewangan. Ada yang diperas ugut along, ada yang memerlukan duit sebab tak mampu bayar yuran pengajian anak ke universiti, ada yang ingin melunaskan bayaran ahli keluarga yang sakit dan pelbagai lagi.
"Jika adik sudi bantu kami malam ini, kiranya ini adalah satu pengorbanan adik yang sangat besar bagi mereka semua.." Sayu suara Hisyam menyampaikan harapan mereka terhadap saya.
Tengah malam itu, dikala orang lain sedang lena beradu, kami bertujuh mendaki Bukit …… sambil mengusung pengisar gandum lama yang diperbuat daripada kayu gaharu milik orang dulu-dulu. Mungkin itu adalah salah satu alat untuk mereka memuja.
"Kena cepat Syam sebelum penduduk kampung mari.." Kata salah seorang pengikut yang ada kepada Hisyam.
Upacara pemujaan bermula. Hisyam memulakan upacara dengan jampi serapahnya. Kemayan dibakar dan beberapa batang kayu yang diletakkan pelita dipasang mengelilingi mereka. Saya duduk bersila di tengah-tengah mereka hanya diselimuti dengan sehelai tudung sutera…
"Sebagai penyeri…" Bisik Hisyam sambil melilit kain sutera yang lembut dan harum itu ketubuh saya.
Angin bukit bertambah sejuk membuatkan bulu roma saya naik lebih tinggi.
"Ini aku persembahkan dara tanpa disentuh sebagai teman untuk kamu…" Ujar Hisyam berbisik tapi telinga saya mampu menangkap ayatnya itu.
Beberapa orang pengikut lain rancak membaca mantera seolah sedang berzikir.
"Gila kau nak bagi adik pada 'dia'. Kau janji lain tapi kau buat lain. Aku tarik diri." Izham yang duduk di sebelah Hisyam turut mendengar ucapan tersebut berbisik perlahan kepada Hisyam yang sedang membaca mantera itu.
"Tapi kau dah bersetuju bawa adik..." Bisik Hisyam pula.
"Tapi kau kata lain kan…" Izham meninggikan sedikit suaranya sehingga mengganggu kesunyian malam.
"Benda dah datang… Gila kau nak berhenti. Nak tak nak kau kena terima adik sebagai korban malam ni. Atau kita semua jadi mangsa…" Tegas Hisyam.
Hisyam menuding jari kearah serumpun pokok yang sedang bergoyang. Bersuluhkan cahaya bulan mengambang penuh, jelas kelihatan terjuntai tangan yang panjang turun daripada pokok tersebut. Izham yang tidak nampak apa-apa itu kembali duduk di tempatnya membiarkan saya yang ketakutan bersendirian.
Tiba-tiba makhluk yang terjuntai itu menunjukkan rupanya. Rupanya seakan orang tua yang sangat kurus dan cengkung. Tangannya panjang sehingga mencecah tanah. Makhluk itu berjalan membongkok perlahan sambil menyeret sebuah tong seakan-akan peti harta karun.
Makhluk itu mula mendekati saya dan bau busuk seperti bangkai mula mengganggu pernafasan saya. Makhluk itu meletakkan tangannya yang kasar ke pipi saya, matanya yang buntang dan hampir terkeluar memandang tepat ke mata saya. Giginya yang tajam itu menyeringai ibarat serigala bersedia untuk meratah mangsa.
Hisyam, Izham dan beberapa pengikut masih lagi masih membaca mantera seolah-olah mereka tidak nampak apa yang saya nampak. Mereka terus hanyut dengan kalimah mantera yang saya langsung tidak faham maksudnya.
Apabila tangan jahat makhluk itu ingin membuka kain sutera yang melilit di tubuh saya, tiba-tiba ada seekor harimau besar keluar daripada hutan menerkam makhluk tersebut. Mereka berguling hingga jatuh ke bawah bukit lalu lenyap bersama peti yang dibawanya tadi. Mantera segera dimatikan, mereka berhenti memuja.
"Lain kali nak bawa korban pastikan kosong. Tak ada 'penjaga'!!" Marah salah seorang pengikut itu kepada Hisyam sambil menjeling kearah saya.
Sebaik sahaja saya sampai ke kaki bukit, jelas kedengaran ngauman harimau yang sangat kuat. Beberapa orang pengikut Hisyam turut menoleh kearah suara tersebut dan mereka terus beredar seperti dalam ketakutan. Mungkin mereka juga mampu mendengar apa yang saya dengar.
Itulah kali pertama saya mengikut Hisyam dan Izham, bermula daripada situ jugalah Hisyam tahu saya ini sangat berguna kepadanya.
Kalian tahu tak apa itu…? Itulah jin asyik. Jin ini jika didampingi (secara sengaja), dia akan memberi kita kekayaan dan kekuatan… Tapi tahukah kalian bahana yang akan menimpa kita sekiranya kita di dampingi jin ini?
Sudah tentunya kita akan syirik kerana menduakan Allah SWT… Tempat kita adalah di neraka jahanam.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nisa, ayat 48)
Selain daripada itu, rumah tangga yang dibina tidak akan aman kerana jin ini akan berasa cemburu terhadap pasangan kita. Pasangan kita akan sentiasa sakit atau ditimpa musibah. Astaghfirullahalazim… Tidak kiralah jin asyik itu lelaki atau perempuan ianya tetap sama.
Orang yang berdamping dengan jin asyik ini sangat susah untuk punya zuriat sendiri dan nafsu ke atas pasangan sendiri juga turut akan 'mati'. Jika kita tidak ada pewaris, kepada siapa untuk kita warisi saka kita nanti bila tiba roh dipanggil pulang? Tidakkah kita akan mati tersiksa? Allahuakbar… Didunia sudah sengsara apatah lagi di 'sana' nanti… Astaghfirullahalazim…
Jadi… Untuk apa punya harta menimbun jika syurga kita hanya di dunia bukan di akhirat. Untuk apa juga punya wang berjuta tapi hakikatnya kita miskin dalam kasih sayang… Renung-renungkan lah… Jauhi lah segala tipu daya jin dan iblis kerana tugas mereka hanyalah untuk menyesatkan kita.
Kembali pada kisah saya diatas, sebenarnya dari awal lagi Hisyam dan Izham ingin mempergunakan saya sebagai korban memandangkan saya jenis yang 'senang nampak' benda halus. Mereka fikir saya seorang yang mudah khayal dan asyik dengan pujuk rayu jin. Jika saya 'kosong', jin asyik yang saya nampak itu akan merupa seorang lelaki yang kacak menawan dan saya akan tergoda tetapi malangnya saya nampak rupanya yang sebenar. Daripada mana harimau itu datang dan adakah ianya harimau betul atau jelmaan semata-mata, Wallahualam…
Beberapa pengikut yang mengikuti upacara tarik harta pada malam itu bukanlah yang seperti mereka ceritakan sebaliknya mereka terdiri daripada bomoh-bomoh atau dukun-dukun yang ingin kaya dengan mudah.
Sahabat yang saya kasihi, bukan senang 'mereka' hendak memberi kekayaan kepada manusia. Banyak benda yang perlu dikorbankan dan banyak perkara akan dijadikan syarat-syaratnya jika salah satu syarat dilanggar, nyawa kita dan ahli keluarga kita jadi galang ganti nya… Sanggupkah kita melihat orang yang kita sayang binasa gara-gara nafsu yang bertuhankan wang ringgit? Muhasabah lah diri sebelum memilih jalan mudah untuk kaya.
Sudah tertulis di Luh Mahfuz sebanyak mana rezeki kita itulah bahagian kita. Siapalah kita untuk menidakkan kuasa Allah SWT… Jangan tanya kepada saya tentang ritual tarik harta atau tarik duit yer sebab inilah kali pertama dan terakhir saya ikut Hisyam tarik harta😊
Facebook : Mayang Sari
Comments
Post a Comment