Tidur malam hanya beralaskan tikar getah, berbumbungkan langit. Apabila hujan turun atau panas terik, saya akan berlindung di bawah kaki tangki air.
ILMU HITAM DAN PENDAMPING 4.
Bismillahirrahmanirrahim… Lama sangat tergantung kisah Ilmu Hitam dan Pendamping sehingga menjadi tanda tanya kepada para pembaca apakah yang terjadi kepada Izham dan Hisyam. Saya akan cerita satu persatu supaya pembaca fahami dengan baik.
Saya mengenali Izham pada awal tahun saya di tingkatan 4. Izham merupakan pelajar tumpang di sekolah saya. Dia telah dibuang daripada sekolah lamanya kerana telah melakukan banyak kes salah laku. Walaupun begitu, pada mata saya Izham sangat baik orangnya. Izham juga satu-satunya orang yang faham dengan keadaan saya dan tahu apa yang sedang saya alami. Kisah saya kali ini tidaklah banyak mengenai ilmu hitam ataupun kisah seram. Sekadar ingin bercerita bagaimana saya melepaskan diri daripada Izham dan Hisyam. Terdahulu saya ada menceritakan kisah mereka dalam Ilmu Hitam Dan Pendamping 3.
Sebaik sahaja saya berjaya melarikan diri daripada rumah pak cik saya, saya menetap di rumah bujang Hisyam bersama teman wanitanya. Oleh kerana itulah Hisyam semakin berani membawa saya ke hulu ke hilir melakukan aktiviti paranormal atau mengubati orang sakit dengan menggunakan ilmu batin. Ada masanya bersama Izham dan adakalanya tanpa Izham.
Oleh kerana terlalu kerap saya mengikut Hisyam tanpa Izham bersama, telah menjadi satu masalah buat Izham yang telah lama menyukai saya. Izham pernah meluahkan hasrat hatinya untuk menikahi, mencintai dan akan menjaga saya hingga ke akhir hayatnya. Janji-janji Izham membuatkan saya lebih tekad untuk memilih dia berbanding mak dan ayah.
Satu hari, Izham dan Hisyam telah bergelut gara-gara Izham ingin mengambil saya daripada Hisyam. Mereka bertumbuk selama beberapa minit akhirnya Hisyam tewas dan Izham berjaya membawa saya keluar daripada rumah sewa Hisyam.
Izham ada menceritakan kepada saya tentang ayah yang sedang gigih mencari saya. Ada juga beberapa kali pihak polis datang ke rumah Izham untuk menjejaki keberadaan saya. Izham yang bijak bermain peranan berjaya mengaburi mata pihak polis dengan menafikan saya ada bersama dia.
Saya ditempatkan di atas bumbung bangunan di rumah Izham (rumah flat kakitangan kerajaan). Tempat yang tiada siapa akan berjaya menjumpai saya termasuk mak dan ayah Izham sendiri. Tempat terpencil yang sangat tidak selesa. Berbau busuk, kotor dan menjijikkan. Ketika itu jugalah baru saya tahu disitulah menjadi tempat Izham melepaskan ketagihan dadahnya.
Satu persatu barang kemas di badan saya dijual. Namun apalah daya saya, seorang buruan polis serta telah menjadi kebencian keluarga, (menurut Izham, ayah telah melaporkan kepada pihak polis bahawa saya merupakan seorang yang tidak waras dan meminta pihak polis menangkap saya untuk dihantar ke rumah sakit jiwa) terpaksalah berdiam diri.
Tidur malam hanya beralaskan tikar getah, berbumbungkan langit. Apabila hujan turun atau panas terik, saya akan berlindung di bawah kaki tangki air. Izham hanya datang seketika sahaja untuk menghantar makanan dan minuman, itupun hanya dua kali sehari sahaja. Kadangkala tiada langsung maka kelaparan lah saya sehingga hari esok. Mandi dan membuang hajat pula terpaksa menunggu rumahnya kosong (mak ayah Izham keluar), barulah saya dapat mandi dengan sempurna. Mujurlah ibu dan bapa Izham sejenis yang suka keluar berjalan-jalan. Maka kerap lah saya dapat mandi.
"Tak boleh datang selalu, nanti polis ikut, adik sabar yer, saya sedang usaha mencari rumah sewa yang sesuai untuk kita berdua," jawabnya bila ditanya kenapa dia jarang datang berjumpa saya dan sampai bila saya akan menetap disitu.
Hampir seminggu saya tinggal di bumbung tersebut, suatu malam saya di datangi oleh satu makhluk yang berupa seorang lelaki. Walaupun dia tidak menampakkan diri tetapi melalui garau suaranya saya tahu itu lelaki.
"Balik lah dik, ayah tak marah. Balik lah…" Hanya itu yang diucapkan olehnya sebelum berlalu pergi bersama angin malam membawa bau-bauan yang sangat saya kenali.
"Indera.." Rintih saya sambil menyebut namanya. Perasaan rindu saya pada kedamaian sewaktu kecil tiba-tiba datang bertamu. Terkenang saya pada sungai, batu-batu kecil yang disusun cantik, pohon ara yang melambai-lambai ditiup angin, gemersik angin membawa alunan irama pokok-pokok nipah yang bergeseran sesama sendiri apabila angin bertiup kencang… Allah rindunya saya pada semua itu.
Lebih lagi bila sepertiga malam menjelma, rindu pada hangat pelukan arwah nenek, ciuman mak dan ayah sebelum tidur. Rindu pada suapan nasi arwah nenek walaupun hanya berlauk ikan singgang. Sungguh saya rindu.
Sejak hari itu, bau-bauan itu sering menemani malam saya membuatkan saya selesa. Tidur tidak lagi kesejukkan. Terasa seperti dipeluk oleh sebidang tubuh yang sasa. Makan pula akan cepat terasa kenyang walaupun Izham hanya menghantar sekeping roti. Walaupun begitu Indera tidak menunjukkan dirinya. Saya cuma dapat rasai kehadiran dia dengan bau-bauannya sahaja.
Tiba-tiba pada satu hari tu Izham tidak muncul. Dua hari saya tunggu, dia tidak juga muncul-muncul. Masuk hari ketiga Izham menghilangkan diri, saya ambil keputusan untuk turun ke bawah untuk memastikan apa yang sedang berlaku. Saya menapak sejauh 5 kilometer menuju ke rumah sewa Hisyam. Hanya Hisyam lah satu-satunya orang yang boleh saya percayai.
"Hisyam dengan Izham diangkut polis. Kes curi barang kemas." Jawab teman wanita Hisyam.
"Curi? Bukan kah mereka dah tak berkawan sejak bertumbuk haritu?" Soal saya lagi.
"Yer kes lama… Nak sangat berubat orang tapi merompak!!" Jawab teman wanita Hisyam.
Jantung saya berdegup laju, adakah saya akan turut terbabit sama dengan kes ini.
"Dah lah, aku tak nak ambil tahu lagi tentang korang semua. Tak pasal-pasal nanti aku terbabit sekali. Tu masalah korang. Kalau kau nak jumpa dia, pergi balai polis (nama tempat dirahsiakan). Aku nasihatkan kau balik lah rumah mak bapak kau. Mesti dorang boleh tolong kau settle," sambung teman wanita Hisyam sebelum menutup pintu rumahnya.
Saya melangkah longlai tanpa arah tuju. Tidak tahu mana tempat yang pergi.
"Aku nak balik…" Bisik saya sebelum tahap kesedaran saya hilang.
Apabila saya buka mata, saya dikelilingi oleh insan-insan yang saya sayang. Mak, ayah, kakak, abang, adik, pakcik, makcik semua ada. Pakaian sudah bertukar kepada yang elok dan wangi.
"Balik pun kau dik. Mak ingat kau dah pergi jauh dah, merata ayah cari, kau pergi mana?.." bebel mak sambil menyapu tangis.
Mata mak bengkak, mungkin dah banyak menangis. Tiga bulan anak hilang hati mak ayah manakah yang tidak remuk. Menurut mak, saya balik sendiri tanpa di hantar oleh sesiapa pun. Tiba-tiba berdiri di muka pintu dengan wajah yang pucat lesi dan bau badan yang sangat busuk tidak terurus. Allahuakbar kasihannya saya ketika itu. Sebaik sahaja mak membuka pintu, saya terjelepuk jatuh dan maklah yang uruskan saya ibarat memandikan jenazah.
Sepanjang saya melarikan diri.
Saya tahu sepanjang saya melarikan diri daripada keluarga, ayah bagai nak gila mencari saya. Ke hulu ke hilir ayah mencari. Mak pula sering sakit-sakit merindui saya. Saya nak balik tapi takut jika ayah betul-betul membawa saya ke hospital gila. Saya tidak gila dan saya tidak mahu tinggal dengan orang gila. Saya selalu nampak ayah pusing-pusing bandar cari saya tapi ayah tidak nampak saya. Saya sedih tengok ayah dah kurus tidak terurus. Saya tahu ayah kecewa kerana anak yang sangat dia sayang dan dibesarkan dengan kasih sayang tanpa pernah di jentik atau dipukul meninggalkan dia kerana seorang lelaki. Saya tidak mahu dikatakan gila. Sedihnya bila saya kenangkan betapa jahilnya saya ketika itu. Sedangkan ayah sikit pun tiada niat untuk menghantar saya ke hospital gila.
Menceritakan tentang Hisyam dan Izham.
Dua hari selepas itu setelah saya menceritakan tentang Izham dan Hisyam ditangkap polis diatas kesalahan mencuri barang kemas, ayah memujuk saya supaya serah diri ke balai polis dan berjanji akan membantu saya walau apa pun pertuduhan yang akan dikenakan ke atas saya. Serik menjadi buruan polis, saya bersetuju.
Alhamdulillah tiada pertuduhan yang dikenakan ke atas saya memandangkan Izham, Hisyam, pengadu dan beberapa orang saksi tidak menyebut nama saya sebagai rakan bersubahat.
Pihak polis menasihati ayah supaya membuat report untuk keselamatan diri saya bimbang jika Hisyam dan Izham mencari saya setelah mereka bebas kelak. Jenuh saya dan ayah berulang alik ke mahkamah sivil sebagai saksi perbuatan mereka. Sememangnya saya tidak terlibat kerana mereka lakukan kegiatan haram itu sebelum Izham dipindahkan ke sekolah saya lagi. Sebelum saya mengenali Izham.
Alhamdulillah setelah rayuan dibuat, saya diterima bersekolah semula. Cikgu-cikgu dan kawan-kawan sangat membantu dalam memberi kata-kata semangat. Rupa-rupanya selama ini mereka (kawan-kawan) tidak pernah membuang saya, cuma saya sahaja yang memilih untuk menyendiri dan menjauhkan diri daripada mereka. Saya mula berkawan
semula seperti orang lain. Sedikit pun mereka tidak menganggap saya pelik. Setiap kali saya ke tandas atau kemana sahaja, pasti ada antara kawan-kawan yang sudi menjadi peneman supaya saya tidak berseorangan.
Beberapa minggu saya kembali ke sekolah, Izham muncul semula. Izham dibebaskan dengan jaminan duit manakala Hisyam terus ditahan kerana tiada siapa pun yang ingin menjamin dia untuk bebas. Maka dia dipenjarakan sementara menunggu waktu bicara untuk dijatuhkan hukum.
"Saya sayangkan awak, sebab tu saya tidak mahu libatkan awak dengan kes ini."
Kata Izham sewaktu dia datang melawat saya di kelas. Ketika itu adalah waktu rehat dan tiada sesiapa pun diizinkan berada di kelas kecuali sakit.
"Saya tidak mahu terlibat dengan awak dan Hisyam lagi. Apa yang awak dan Hisyam buat salah. Mana boleh tipu orang. Curi barang kemas orang. Saya tidak terlibat sebab saya tak buat semua tu." Marah saya pada Izham.
Izham tidak tahu bahawa lihak polis awal-awal lagi telah menerangkan kepada saya bila kejadian curi itu berlaku. Ia menambahkan lagi keyakinan saya bahawa saya tidak terlibat. Cuma pihak polis berharap saya tidak sesekali bercerita tentang itu kepada Izham ataupun Hisyam bimbang mereka akan apa-apakan saya.
"Kembali kepada saya dik. Saya sayangkan awak." Rayu Izham cuba menarik tangan saya.
"Kita pergi jauh. Kita nikah di Thailand dan saya janji akan jaga awak." Sambungnya lagi.
Saya mengelak daripada disentuh Izham kerana bimbang dicalit dengan minyak pengasih kerana saya pernah ada pengalaman dicalit minyak dagu pada satu masa dahulu (Artikel Tanpa Izin-Nya). Saya tahu apa kesannya jika dia berjaya. Melihat saya menarik tangan daripada disentuh olehnya Izham bingkas bangun dan cuba menghampiri saya. Renungan matanya sangat menakutkan. Mulutnya muka membaca mentera/jampi.
Tepat jangkaan saya, di belakang Izham ada makhluk perempuan yang terbakar dagunya sedang memeluk Izham dengan erat seperti sepasang kekasih yang tidak rela berpisah. Saya bergegas turun tangga, malangnya kaki saya tersandung dan hampir terlanggar pengawas yang ditugaskan untuk memeriksa jika ada pelajar yang ingkar arahan supaya kosongkan kelas pada waktu rehat.
Pengawas tersebut berjaya menyambut saya daripada jatuh daripada tangga. Dia memandang saya dalam keadaan pelik lalu beralih pula memandang Izham yang masih berada di tangga.
"Hantu" Jerit saya sekuat hati sambil memeluknya erat.
Izham yang tidak berjaya mengejar saya terus melarikan diri di tangga hujung bangunan.
"Panggil cikgu," Arahnya pada rakan yang bertugas sebelum saya tidak sedarkan diri.
Apabila saya membuka mata, saya dikelilingi oleh beberapa orang guru. Ada ustaz yang sedang mengaji dan pengawas yang menjadi saksi. Saya menangis sekuat hati saya sambil memeluk cikgu.
"Sshhhh dah.. dah.. dah selamat dah" Pujuk cikgu perempuan itu sambil memeluk saya.
Keesokan pagi kecoh cerita Izham di terajang oleh guru disiplin kerana cuba mencabul saya dan telah digantung sekolah gara-gara perbuatan buruk dia. Saya pula dengan perasaan malu pergi berjumpa dengan Iman, pengawas yang selamatkan saya semalam kerana ingin memohon maaf di atas keterlanjuran saya memeluknya semalam.
Alhamdulillah dia faham situasi tersebut dan mula daripada itu kami menjadi rapat. Dia sering datang ke kelas pada waktu rehat bagi memastikan saya tidak diganggu oleh Izham lagi.
Saya sangka Izham hanya berhenti di situ, rupa-rupanya dia tidak pernah serik mengejar saya. Satu malam dalam lingkungan jam 12 malam semasa ayah saya bekerja shift malam, mak dan adik saya sudah lena, tingkap bilik saya diketuk oleh seseorang.
"Dik, buka tingkap ni. Saya tahu adik dah 'di pagar' oleh ayah adik untuk membenci saya. Percaya lah cinta saya pada adik sampai mati. Buka tingkap dik. Saya merayu. Sejuk diluar ni sayang, saya kebasahan… Buka tingkap ni sayang."
Rasa kasihan padanya mula menebal. Tingkap saya buka. Sayang saya kepadanya masih tersisa.
Melihat dia kebasahan di tengah hujan lebat hati saya mula cair. Tiba-tiba perasaan simpati saya muncul.
"Ikut saya dik. Sumpah demi Allah saya sayangkan adik. Ingatkan sumpah kita hanya ajal yang boleh pisahkan kita…" Bisiknya perlahan sambil mengelus lembut pipi saya.
Ya sekali lagi saya bodoh, akur dengan pujuk rayu Izham. Sekali lagi saya keluar daripada rumah untuk bersama dia pada malam itu. Entah apalah yang saya fikir ketika itu. Malam itu saya dan Izham merayau dengan motor. Dalam hujan lebat Izham bawa saya ke rumah sewa kawannya (berkeluarga) di Kuantan. Kami bermalam di situ. Bahagia sungguh rasanya bila bersama Izham. Kami menumpang di rumah sewa kawannya selama beberapa hari. Perancangan Izham sehingga dia dapat kerja, dia akan mencari rumah untuk kami berdua dan apabila genap saya berumur 17 tahun, dia akan membawa saya ke Narathiwat untuk bernikah.
Satu hari, sedang saya dan Izham merayau di bandar Kuantan (temankan Izham mencari kerja), saya terserempak dengan Iman. Iman memujuk saya supaya kembali ke pangkuan keluarga. Menurut Iman ayah sedang mencari saya. Saya berkeras tidak mahu pulang dan berlaku lah pertengkaran antara Iman dan Izham. Ketika kejadian itu ada beberapa orang polis peronda lalu di hadapan kami dan Iman mengambil peluang menceritakan hal sebenar. Saya dan Izham ditahan polis. Kami dibawa ke Balai Polis Kuantan, Izham dijemput oleh bapanya lalu tinggallah saya sendirian menunggu ayah datang.
Ayah tiba dengan muka yang sangat sedih. Duduk di kerusi dengan lemah. Mungkin ayah dah keletihan mencari saya.
Ketika saya melangkah keluar daripada balai polis, Iman masih setia menunggu di pintu masuk. Saya menjeling penuh kebencian kearah Iman.
Ayah mengambil keputusan untuk membawa saya berubat dengan seorang ustaz di Kelantan. Ustaz itu mengatakan bahawa saya telah dicalit oleh Izham dengan minyak dagu seawal perkenalan lagi. Hijab saya yang telah ditutup oleh Hisyam (bukan keseluruhan) telah dibuka semula oleh ustaz tersebut dengan membuka ikatan benang di bahu saya. Tetapi ditutup semula dengan kaedah rawatan Islam. Tidak dapat saya lupakan sehingga kini betapa gigihnya ayah berhenti di setiap masjid di Negeri Kelantan. Bermula daripada Masjid Kota Bharu sehingga ke Masjid Dalam Rhu ayah menimba air perigi untuk mandikan saya sebagai penawar.
Rupa-rupanya makhluk yang saya nampak di rumah saudara ayah itu dihantar oleh Hisyam untuk saya kembali kepadanya. Saudara ayah yang ada sedikit ilmu batin cuba untuk menghalang tetapi kebodohan saya membuatkan Hisyam dan Izham berjaya mendapatkan saya semula.
Alhamdulillah sejak daripada itu sedikit demi sedikit perasaan sayang saya pada Izham mula pudar. Melihat Izham sama seperti saya melihat lelaki-lelaki lain. Tiada lagi rasa sayang dan simpati dengan pujuk rayu Izham lagi. Cikgu disiplin juga (kenalan ayah) melarang Izham mendekati saya dan jika dapati Izham melanggar peraturan tersebut, Izham akan di buang sekolah serta merta.
Iman juga sangat perihatin terhadap saya. Iman sering ada walau dimana sahaja saya berada (Kawasan sekolah) pada setiap kali waktu rehat atau pulang daripada sekolah. Iman meminta saya maklumkan padanya sekiranya saya sudah sampai ke rumah. Iman juga memasang 'mata-mata' (kawan-kawannya satu kelas yang tinggal satu taman perumahan dengan saya) untuk memperhatikan kegiatan saya sekiranya saya keluar ambil angin pada petang hari.
Bagaimana saya tahu? Iman pernah naik gila memarahi saya kerana dapati saya berbual dengan Izham. Izham datang ke taman saya kerana ingin meminjam duit. Ketika itu saya bersendirian pulang daripada rumah seorang teman. Tiba-tiba Iman muncul dengan kereta ibunya. Iman menarik saya masuk ke kereta. Teruk saya dimarahi Iman.
Pada hari itu jugalah Iman mengakui dia sayangkan saya, cintakan saya sejak saya di tingkatan 3 lagi cuma saya jarang bergaul dan sering menyendiri membuatkan dia takut untuk menghampiri saya sehinggalah pada kali pertama saya memeluknya tempoh hari. Iman cuba menghampiri saya namun saya sentiasa mengelak. Barulah saya faham kenapa di meja saya sentiasa ada bungkusan makanan dan minuman pada setiap pagi. Rupanya Iman yang letakkan kerana dia tahu saya tidak pernah ke kantin pada waktu rehat kerana saya bimbang mengganggu ketenangan pelajar lain dengan sikap saya yang suka 'bercakap sendirian'.
Habis SPM, Iman sambung belajar ke Maktab Adabi untuk ambil STPM. Saya pula ayah pindahkan ke Kelantan rumah arwah pakcik untuk sambung persekolahan tanpa seorang sahabat pun tahu kerana Hisyam sudah bebas (keluarga Hisyam membayar denda yang dikenakan oleh pihak mahkamah). Ayah bimbang Izham dan Hisyam akan mengganggu kehidupan saya lagi. Ayah bimbang jika mereka bergabung, saya akan tewas. Oleh kerana itu jugalah saya terputus hubungan dengan Iman.
Maaf yer pembaca, kisah kali ini tidak seram seperti kisah lain-lain. Saya cuma ingin bercerita pengalaman saya bersama Izham dan Hisyam. Kisah-kisah lainnya saya akan bercerita secara random yer…
Setakat ini sahaja cerita saya. Jika ada yang berminat untuk tahu cerita selanjutnya, sila komen di bawah yer… In Sha Allah ada masa saya sambung lagi yer.
Facebook : Mayang Sari (Adik)
Terbaik dan teruskan bercerita
ReplyDeleteTerima kasih...
DeleteSy tunggu next episod..excited mcm baca novel lakk...cerita yg menarik utk dkongsi n byk jugk nasihat utk pembaca..tq ms
ReplyDeleteSaya nak ms sambung kisah sini walau tak seram tetapi tetap menarik utk dibaca..
ReplyDeleteAkhirnya siapa jodoh adik ye..iman juga ke?
ReplyDelete