DESTINASI MIMPI


Assalamualaikum para pembaca. Penulisan MS kali ini mungkin agak keliru. Harap ia tidak akan memesongkan akidah kita semua. Ianya hanya satu cerita mengenai sebuah perjalanan semoga ada manfaat dan pengajaran yg kita dapat daripada kisah ini. 

Destinasi Mimpi...

Selesai kenduri di rumah berwarna hijau itu saya terus minta diri untuk beredar. Selepas berbalas salam dengan tuan rumah, saya ikut berjalan bersama beberapa orang pemuda yang mengenakan jubah putih dan berkopiah. 

"Anak murid tuan rumah lah agaknya…"

Bisik saya sendirian kerana saya tidak mengenali mereka. Wajah mereka putih bersih serta berbau wangi. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti apa hubungan saya dengan tuan rumah dan untuk apa saya hadir di majlis tersebut. Tiba-tiba 2 utas tasbih jatuh daripada genggaman saya. Sewaktu saya ingin menunduk untuk mengambilnya, salah seorang daripada pemuda tersebut telah mendahului saya. 

"Saya teman kan kamu berjalan yer… Tapi saya hanya dapat temankan sampai permulaan lorong sahaja… Jalan terus jangan pedulikan apa yang datang dan jangan lupa… Ambil kereta api yang di rel keempat…" Katanya sambil menghulurkan tasbih tersebut.

"Kenapa tidak sampai ke hujung lorong…? Lorong tu gelap… Saya takut.." Soal balas saya jujur.

"Saya sudah tidak boleh melepasi lorong tersebut lagi kerana saya sudah kekal di sini. Tidak mengapa… Selagi tasbih, zikir, tahmid dan takbir bersama kamu… Mereka tidak boleh apa-apa kan kamu…" Katanya lembut sambil menunjukkan arah supaya saya meneruskan perjalanan.

Setibanya di lorong tersebut. Saya segera mematikan langkah kaki. Saya memandang dia yang sedang tersenyum manis itu.

"Pergi lah… Jangan takut…" Katanya lagi. 

"Boleh kah saya melepasi lorong itu dengan selamat…?" Soal hati saya ragu seolah-olah saya pernah melalui lorong tersebut dan tahu apa ada di dalam nya. 

"Boleh… Jalan terus… Cepat… Nanti kamu akan ketinggalan kereta api dan ianya mengambil masa yang lama untuk giliran seterusnya. Saya tidak mahu kamu bersendiri di stesen sana…" Dia mula bersuara dengan menjawab soal hati saya seolah-olah dia mampu mendengar kata hati saya. .

"Terima kasih untuk segalanya…" Kata saya sebelum meninggalkan dia. Saya berjalan sambil menyebut kebesaran Allah berkali-kali sehinggalah saya tiba di penghujung lorong.

سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَكْبَرُ

Alhamdulillah tiada apa yang berlaku. Keadaan lorong itu sangat sunyi dan gelita. Hanya sinaran cahaya daripada tasbih di jari sahaja yang bersinar menyuluh setiap langkah saya. 

Sebaik sahaja saya tiba, kereta api yang sepatutnya saya naik telah berjalan meninggalkan stesen tersebut. Saya menjerit sekuat hati supaya pemandu tersebut berhenti, malangnya dia tidak mendengar jeritan saya. Suasana kembali sunyi dan gelita. Kesunyian tersebut membuatkan pelbagai suara halus yang dibawa angin kedengaran. Ada yang merintih, menangis dan menjerit kesakitan. Ia membuatkan perasan takut saya semakin ketara. 

Saya ingin meredah lorong sunyi semula untuk kembali ke rumah berwarna hijau itu. Malangnya lorong tersebut sudah tiada. Ia bertukar menjadi dinding batu yang sangat keras. 

Saya duduk di bangku yang terletak di tepi tiang. Memikirkan apa yang harus saya lakukan selepas ini. Tiba-tiba ada sebuah kereta api berhenti di stesen tersebut. Betul-betul di hadapan saya. kereta api tersebut tidak panjang hanya bersaiz 3 meter sahaja panjangnya. Pemandunya melambai ke arah saya dan bertanya adakah saya ingin menumpang kereta api tersebut atau ingin menunggu kereta api yang lain. 

"Oh… Yang itu kamu kena tunggu selama 44 hari baru dia akan datang semula. Waktu itu kamu akan mati kelaparan dan kehausan di sini…" Ujar pemandu tersebut bila saya menyatakan hasrat saya untuk menunggu giliran kereta api di rel keempat itu datang.

"Tapi jika saya menumpang kereta api ini, adakah saya akan tiba juga ke destinasi saya..?" Soal saya kepada pemandu tersebut.

"Pasti… Saya akan menghantar kamu tetapi selepas saya menghantar semua penumpang lain. Marilah… Jangan buang masa di sini. Mereka sudah tidak sabar untuk ke destinasi mereka…"

Jawabnya sambil membuka pintu untuk saya melangkah naik. Saya yang sedang keliru itu hanya menurut.

Dalam kereta api tersebut ada beberapa bahagian penumpang. Ada bahagian yang terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Wajah mereka pucat tetapi kelihatan sangat riang. Mereka bergurau-senda dan berbual sesama sendiri. 

Manakala di bahagian lain pula kelihatan tiga orang tua yang sangat sedih rupa parasnya. Pucat dan tidak bermanya namun tetap berusaha senyum kepada saya.

Saya duduk di satu sudut di antara kanak-kanak dan orang tua tersebut. Tiba-tiba salah seorang kanak-kanak itu menepuk belakang saya dengan kuat sehingga saya terbatuk dan yang paling mengejutkan saya, ketika saya batuk terkeluar sebatang paku panjang yang masih berkilat. 

Melihat situasi tersebut mereka ketawa seolah-olah ianya adalah satu lawak. 

"Jangan ganggu kakak.." Jerit pemandu tersebut apabila melihat saya ketakutan.

"Bagaimana kakak boleh sampai ke sini…?" Soal kanak-kanak tersebut kepada saya bila keadaan kembali tenang. 

"Kakak tidak tahu. Tapi sepatutnya kakak tidak menumpang kereta api ini. Kakak sepatutnya menumpang kereta api di rel keempat…" Jawab saya.

Tiba-tiba seorang wanita tua menangis teresak-esak sambil berkata.

"Apabila kamu turun daripada kereta api ini, perbetulkan apa yang salah dan tambahi apa yang kurang. Anak… Kamu beruntung dapat pulang lagi. Jangan jadi macam kami, perhentian kami tidak sama dengan anak-anak ini. Perhentian kami di penghujung sana di mana kami tidak akan tahu apa nasib kami. Tunggulah sehingga ia akan dihitung. Adakah esok, lusa, setahun atau berpuluh juta tahun lagi…" 

" Sementara menunggu hari perhitungan itu tiba pelbagai hukuman yang akan kami lalui untuk segala dosa dan kealpaan yang kami telah lakukan. Jika kami diberi peluang untuk kembali seperti kamu sudah pasti banyak benda yang kami ingin ubah supaya hari-hari yang kami lalui sangat tenang dan damai sementara menunggu masa itu tiba…"

Mendengar kata-kata perempuan tua itu membuatkan perasaan saya bercampur baur.

"Saya nak balik… Saya tak nak turun di penghujung destinasi. Saya nak balik…" Bisik hati saya.

"Kakak… Saya sampai kesini kerana di dera oleh ayah dan ibu saya. Tetapi saya tidak pernah membenci mereka kerana mereka saya terpilih turun ke detinasi ini…"

"Kakak… saya pula sampai kesini sebab saya hanyut ketika ingin selamatkan adik saya… Sekarang saya akan pergi menemui adik saya. Saya akan sama-sama bermain dengan adik di sana."

"Kakak… Saya pula sampai kesini kerana saya tidak sempat mengelak kenderaan yang terlalu laju merempuh saya…"

"Kakak… Kami sudah sampai di destinasi kami… Selamat tinggal kakak. Sampai kita jumpa lagi di destinasi yang sama…"

Akhirnya mereka serentak bangun. Ya Allah harumnya bau destinasi ini. Teringin sekali ikut turun tetapi kaki saya seperti di letak batu berat dan tidak mampu melangkah.

"Kakak… Tanggungjawab kakak belum sempurna… Saya akan tunggu kakak di sini. Pulanglah dulu. Tiba masa kita akan berjumpa lagi…"

Saya memegang tangan salah seorang daripada mereka..

"Dik… Doakan kakak supaya kakak akan turun di destinasi ini yer… Doakan kakak dik.."

Saya menangis… Menangis dan terus menangis… Allah indahnya rupa mereka dan harumnya bau mereka… 

Kereta api bergerak kembali. Meninggalkan saya bersama tiga orang tua tersebut.

"Anak….Dah sampai giliran kami turun di destinasi kami. Sampai kita akan berjumpa lagi… Tapi pastikan ketika kamu tiba di sini satu hari nanti, kamu sudah cukup bekalan. Bawalah 3 perkara, ilmu yang bermanfaat, sedekah yang sentiasa mengalir pahalanya dan doa anak-anak soleh hasil didikan kamu sebagai orang tua… Jangan seperti kami yang datang hanya dengan tangan kosong… Perjalanan kita sama tetapi bekalan yang dibawa akan membezakan setiap destinasi kita nanti…"

Sebaik sahaja pintu dibuka… Jelas kedengaran jerit pekik yang sangat menakutkan sama seperti suara halus yang saya dengar semasa di stesen pertama tadi. Sangat jelas seolah-olah ia berada di depan mata saya.

Kereta api mula bergerak kembali dan saya tidak tahu ke mana arah tuju seterusnya…

"Jom kita balik… Sepatutnya sampai disini sahaja perjalanan saya. Tetapi oleh kerana kamu menjadi penumpang saya yang terakhir… Adalah menjadi tanggungjawab saya menghantar kamu pulang supaya kamu lebih bersedia apabila kita bertemu lagi di kemudian hari… Pasti akan bertemu lagi.."

Kata pemandu tersebut sambil tersenyum manis. Saya tertidur kerana perjalanan sangat panjang dan saya keseorangan di dalam kereta api tersebut.

Apabila saya sedar daripada tidur. Jam menunjukkan sudah masuk pukul 12 tengahari. Terlajak tidur rupanya saya hari ini. Keletihan kerana menunggu suami pulang selewat jam 3 pagi kerana ada urusan di hospital. Selepas subuh saya sambung tidur dan akhirnya mengundang mimpi yang sangat menakutkan… Terima kasih Allah kerana masih memberi saya peluang pulang ke destinasi saya. 

#DestinasiMimpi
#MayangSari🕊️

Comments

Popular posts from this blog

Tanpa Izinnya

"Bukan kakak lah. Apa hodoh sangat rupanya itu.?" Soal arwah nenek apabila kakak mula membuka pintu pagar untuk masuk ke laman rumah.

MEE GORENG BASAH RINA