“Itu lah… Orang tidur kau menulis… Tulis yang bukan-bukan. Kau puja dia datang lah!!”
Bonsai Melur
Kali ini saya ingin menceritakan pengalaman saya bersama Bonsai Melur kesayangan saya. Cerita kali ini agak pendek, sengaja ditulis untuk menemani malam kalian yang sunyi. Ada tak diantara pembaca gemar menanam bonsai?
Cerita ni dah lama berlaku cuma tiba-tiba saya teringat apabila sedang mengemas rumah di kampung terjumpa puisi yang tidak sempat siap ditulis. Kisah ini berlaku sejurus selepas saya tamat SPM pada tahun 1999. Selepas semua masalah dan konflik yang mengganggu saya tamat. Walaupun tidak sepenuhnya tetapi saya bersyukur kerana ayah dan mak dah mula ambil berat tentang masalah saya.
Pada tahun tersebut, rata-rata suri rumah gemar menanam bonsai. Sejenis pokok bunga berdahan besar di cantas menjadi pokok-pokok kecil yang rendang dan cantik.
Pelbagai bentuk dan nama diberi. Ia terdiri daripada pokok bunga kertas, pokok melur, pokok beringin dan sebagainya. Ketika itu, pokok-pokok bonsai boleh dilihat di merata-rata tempat termasuk di taman perumahan saya. Setiap rumah mesti ada bonsai ini tidak terkecuali rumah mak saya.
Selain bonsai, mak saya juga gemar menanam kaktus renek yang juga tidak kurang hebatnya di zaman tersebut. Dalam banyak-banyak bonsai mak, ada sejenis bonsai yang paling saya suka iaitu bonsai melur. Apabila ia berbunga ia akan mengeluarkan bau yang sangat harum.
Pada zaman dahulu ketika arwah nenek masih ada, bunga melur ini akan di cucuk dengan benang dan dibuat seperti kalung lalu di selit pada sanggul atau di ramas dalam minyak yang di tanak sendiri untuk dijadikan sebagai minyak rambut. Sungguh saya rindu pada saat itu. Arwah nenek akan meramas-ramas lembut rambut saya dengan minyak rambut tersebut.
Bonsai melur tersebut saya letakkan betul-betul di atas tembok pagar. Apabila angin bertiup, haruman melur yang dibawa bersama akan menjadikan suasana malam agak suram dan muram apatah lagi apabila tiba giliran embun menitik di sepertiga malam.
Sayangnya yang hidup pasti akan mati. Begitulah dengan bonsai melur kesayangan saya itu. Tiba masanya bonsai melur semakin layu dan tidak berbunga lagi. Hanya tinggal batang dan daun yang kering gugur ke bumi.
Saya berusaha keras menyiram dan membela bonsai tersebut malangnya ia tetap memilih untuk menyembah bumi. Satu persatu rantingnya kering dan mereput. Akhirnya ia meninggalkan pasu sahaja sebagai kenangan buat saya.
Satu malam, seperti biasa mata saya payah untuk lelap. Lalu saya memilih untuk menulis sebuah puisi bertajuk Melur Ku Sayang. Puisinya berbunyi begini…
Melur ku sayang...
Harum mu sentiasa membuat aku resah...
Resah kerana aku sunyi....
Resah kerana aku sepi...
Resah kerana aku rindu...
Terpinggir ibarat bayang di dalam gelita...
Melur ku sayang....
Ketika angin malam berdesir di telinga membawa harum mu bersama...
Aku mula gundah...
Aku mula bimbang...
Aku mula memikirkan...
Mampukah kamu mewangi selamanya menemani di setiap malam ku...
Melur ku sayang...
...............................
Baru sahaja saya ingin menulis rangkap ke tiga, tiba-tiba haruman melur bertamu di ruang legar bilik saya. Saya bangkit daripada kerusi lalu keluar ke ruang tamu. Tiada sesiapa di situ.
Saya meninjau bilik mak. Mak sedang lena di sisi adik manakala ayah pula kerja shift malam sebagai pemandu ambulan. Saya melihat jam tepat pukul 2 pagi. Doa saya dalam hati semoga 'tetamu' itu tidak menampakkan wajahnya.
Walaupun saya mampu melihat dan sering nampak ‘mereka’ tetapi tidak bermakna jiwa saya kental. Perasaan takut dan seram itu sentiasa ada. Perlahan saya menarik selimut dan bantal untuk menumpang tidur di bilik mak bersama adik. Tiba-tiba tangan saya seperti di pegang oleh seseorang. Hangat dan terasa kelembutannya.
“Jangan lah pergi… Teruskan menulis puisi itu… Aku suka…”
Bisiknya ibarat angin di telinga saya walaupun saya tidak nampak ‘dia’ tapi dapat saya rasa kehadirannya…
“Maaaakkkkkk”
Jerit saya sekuat hati, keempat-empat anak tangga dapur saya lompat bersama selimut dan batal tanpa berfikir panjang. Mak keluar apabila mendengar saya menjerit…
“Itu lah… Orang tidur kau menulis… Tulis yang bukan-bukan. Kau puja dia datang lah!!”
Kata mak apabila saya menceritakan padanya apa yang berlaku. Kata mak, setiap bonsai ada semangatnya sendiri. Jika nak bela bonsai jangan dipuja dan di agung-agungkan kerana ia adalah benda hidup yang bernyawa.
Sejauh mana kebenarannya saya tidak pasti kerana bimbang jatuh syirik. Selama ini saya fikir ianya hanyalah sekadar pokok hiasan, tak sangka pula ada semangat yang menunggu. Wallahualam.
Selepas peristiwa itu saya tidak lagi tidur di bilik itu kerana setiap kali saya tidur di situ haruman melur pasti akan bertandang dan setiap itu jugalah saya akan lari tidur bersama mak dan adik. Kadangkala menyelit di tengah-tengah ayah dan mak.
Setelah saya bersuami, barulah saya berani tidur dibilik itu kerana sudah berteman. Sekarang bilik itu sudah di rombak dan ayah dah tukar position nya di sudut lain kerana cucu semakin bertambah memerlukan ruang untuk mereka berlari kejar mengejar.
Cerita ini telah lama berlalu, cuma tiba-tiba saya teringat tentang bait-bait puisi dan kisah di sebalik puisi yang tak sempat siap itu. Jika para pembaca berminat, boleh lah sama-sama kita tamatkan rangkap puisi tersebut😊.
Comments
Post a Comment